Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Taubat sebagai bekalan Ramadan

Ustaz Muhammad Imran terangkan kepentingan bertaubat, cara melakukannya
Feb 10, 2023 | 05:30 AM



SEMPENA kita berada dalam Rejab ini, ada baiknya kita membincangkan mengenai taubat sebagai persiapan bagi Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, demikian ajak Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam Masjid Al Ansar.



Menyambut undangan Berita Harian supaya menyumbangkan tausiyah mengenai amalan dalam Rejab, beliau berkata bertaubat daripada kesilapan lalu adalah salah satu usaha penting untuk mencapai yang terbaik pada Ramadan dan merupakan antara usaha yang seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim.



Memulakan bicara, Ustaz Muhammad Imran memetik sepotong hadis Nabi saw yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat." (HR At-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Al-Hakim).



"Itulah hakikat manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.



"Pada umumnya, ia disebabkan ajakan nafsu yang mengarah kepada kemaksiatan, mentelah lagi keadaan gaya hidup hari ini yang semakin mencabar.



"Akibat wujudnya pelbagai dorongan dan kemudahan, seseorang itu lebih mudah terjerumus ke dalam kancah dosa."



PENGERTIAN DAN KEPENTINGAN TAUBAT



Taubat dari sudut bahasa adalah kembali. Dari sudut agama, terang Ustaz Muhammad Imran, ia bermaksud kembali daripada kemaksiatan kepada ketaatan, iaitu dengan meninggalkan perbuatan dosa yang lampau.



"Allah swt memerintahkan orang yang beriman agar bertaubat dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, semoga kamu mendapat kemenangan." (Surah An-Nur: 31).



"Dalam ayat tersebut, Allah swt bukan hanya menyuruh kita agar bertaubat, bahkan diterangkan juga tujuannya yang sangat penting, iaitu agar mencapai kemenangan yakni kemenangan di dunia dan di akhirat," jelas Ustaz Muhammad Imran.



DI ANTARA KEPENTINGAN TAUBAT



  • Orang yang bertaubat akan meraih cinta Allah swt. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri." (Al-Baqarah: 222).

  • Taubat bertujuan mencapai tazkiyatun nafs atau kebersihan hati, lantas meraih pelbagai manfaat di dunia dan di akhirat. Dengan hati yang bersih, seseorang itu akan lebih cenderung kepada melakukan amal soleh.

  • Taubat membentuk akhlak seseorang menjadi lebih baik.

  • Orang yang bertaubat terpendam dalam hatinya keinginan tidak mengulangi perbuatan dosa dan berusaha mencari keredaan Allah swt secara konsisten.

ADAKAH TAUBAT WAJIB DISEGERAKAN?



Menurut Imam al-Ghazali, taubat wajib disegerakan.



"Di antara sebabnya adalah perbuatan dosanya akan terus menerus menggelapkan hati seseorang.



"Di samping itu, taubat disegerakan atas sebab kematian yang boleh berlaku secara mendadak, lantas membahayakan dirinya nanti pada hari akhirat kerana tidak sempat membersihkan dirinya daripada dosa-dosanya.



"Dengan ini, kita juga dapat fahamkan bahawa taubat sebenarnya tidak terikat dengan masa dan keadaan yang tertentu.



"Maka janganlah kita menundakan taubat," tegas Ustaz Muhammad Imran.



Antara sebabnya juga, tambah beliau, adalah kita tidak dapat pastikan sama ada diri kita akan betul-betul bertaubat pada masa yang kita telah rancangkan, seperti pada umur senja.



Menurut beliau, ini kerana ada kemungkinan ketika itu kita sudah terlupa bertaubat, atau hati kita telah menjadi semakin keras untuk bertaubat, atau masih lagi meremehkan perbuatan dosa yang dilakukan.



TAUBAT ATAS DOSA BESAR SAHAJA, ATAU ATAS DOSA KECIL JUGA?



Sesetengah ulama, kata Ustaz Muhammad Imran lagi, mengkhususkan taubat hanya bagi perbuatan dosa besar seperti minum arak, berzina, sihir, membunuh tanpa hak dan memakan harta anak yatim.



Mereka mengatakan bahawa dosa kecil boleh terhapus dengan amal soleh kerana Allah swt berfirman dengan maksud: "Sesungguhnya perbuatan kebajikan itu akan menghapuskan perbuatan yang buruk (dosa kecil)". (Surah Hud: 114).



"Ada ulama yang lain pula mengatakan bahawa taubat itu untuk segala jenis dosa, sama ada yang kecil mahupun yang besar.



"Walaubagaimana, kita wajib tinggalkan dosa-dosa besar sama sekali, dan menjauhi atau mengurangkan perbuatan dosa kecil sedaya mungkin," ujar Ustaz Muhammad Imran.



SYARAT-SYARAT TAUBAT



Ulama, kata Ustaz Muhammad Imran, telah menggariskan beberapa syarat taubat iaitu:



  • meninggalkan maksiat,

  • menyesal atas maksiat yang dilakukan; dan

  • bertekad tidak mengulangi maksiat.

ADAKAH TAUBAT DITERIMA JIKA DIULANGI DOSA?



"Jika seseorang itu bertaubat dengan menuruti segala syaratnya, maka taubatnya akan tetap diterima Allah swt walaupun dia mengulangi perbuatan dosa yang sama selepas itu.



"Walau demikian, dia seharusnya memperhatikan dirinya kembali apakah sebab-sebab dia mengulangi perbuatan tersebut. Ini agar langkah-langkah yang bakal diambil kemudian adalah tindakan yang lebih bijak dan efektif demi kebaikan dirinya pada masa yang akan datang," tambah Ustaz Muhammad Imran.



Beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh orang yang ingin dan yang telah melakukan taubat, sambung beliau, adalah:



  • sentiasa bermuhasabah diri atas perbuatan yang telah dilakukan,

  • mengambil tahu kesan-kesan buruk bagi perbuatan dosa di dunia dan di akhirat,

  • bergaul dengan orang-orang yang mengejar keredaan Allah swt,

  • menjauhkan sebab-sebab yang dapat mencetus keinginan melakukan dosa; dan

  • memahami bahawa perbuatan baik akan mendorong diri melakukan perbuatan baik yang lain.

"Dengan melaksanakan dan menambah amal soleh, ia akan mempermudahkan lagi usaha kita menjauhi kemaksiatan yang susah kita tinggalkan.



"Mudah-mudahan dengan hati yang ikhlas dan usaha gigih, kita dapat menjadi hamba-hamba Allah yang sentiasa diberi petunjuk dan berusaha mempertingkatkan diri menjadi lebih baik dengan bertambahnya umur kita," katanya.




JANGAN TUNDAKAN TAUBAT



"... Taubat disegerakan atas sebab kematian yang boleh berlaku secara mendadak, lantas membahayakan dirinya nanti pada hari akhirat kerana tidak sempat membersihkan dirinya dari dosa-dosanya."
- Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam Masjid Al Ansar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >