Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tugas manusia memberi, bukan menghukum

Keperluan saling bantu-membantu sesama insan kian mendesak terutama di tengah-tengah pandemik
Jun 25, 2021 | 05:30 AM



DALAM suasana pandemik hari ni, keperluan membantu sesama insan kian mendesak.



Sebagai sebuah agama penyatuan, Islam menekankan hubungan persaudaraan sesama Mukmin.



Ini ditekankan oleh tiga asatizah setempat - mantan Presiden Kanan Mahkamah, Ustaz Mohamad H Rais; pegawai dakwah di Masjid Alkaff Upper Serangoon, Ustaz Uwais Al-Qarni Mohamed Fawzi dan Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Masyarakat, Masjid Al-Islah, Ustaz Mohamed Asysallehan Mohamed Ali.



Ustaz Mohamad membentangkan hadis dari Abu Musa yang meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:



"Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain. Baginda berkata demikian sambil menjalinkan dan menggenggam jari-jemarinya." (HR al-Bukhari)



MUKMIN ITU BERSAUDARA



Berdasarkan hadis tersebut, Ustaz Mohamad berkata seorang Mukmin sebenarnya menjadi penguat kepada orang Mukmin yang lain.



"Sebagai saudara seakidah, kita perlu saling tolong-menolong antara satu sama lain dalam mengukuhkan kehidupan.



"Sewajarnya, kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah supaya segala beban saudara kita dapat diringankan,'' kata Ustaz Mohamad.



Menolong itu satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt melalui sebahagian ayat dalam surah Al-Maaidah iaitu:



"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (5:2)



Ustaz Uwais Al-Qarni berkata sikap tolong-menolong adalah sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat, terutamanya di tengah-tengah pandemik ini.



"Bantulah orang yang paling terdekat dengan kita iaitu ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga serta masyarakat yang memerlukan.



"Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menolong insan-insan yang berada dalam kesusahan tanpa memikirkan status mereka.



"Semua manusia adalah makhluk dan hamba Allah swt, justeru kita dilarang untuk membenci dan menghina orang lain. Sebaliknya, bantulah mereka yang daif dengan seikhlas mungkin,'' kata Ustaz Uwais Al-Qarni .



Ustaz Mohamed Asysallehan pula berkata bagi orang beriman, mereka akan sedar bahawa sesuatu nikmat - makanan, wang dan sebagainya yang diperolehi bukanlah rezeki miliknya seorang sahaja.



"Barangkali sebahagian daripada nikmat tersebut mempunyai hak orang lain di dalamnya.



"Begitulah aturan Allah swt dalam menentukan rezeki kepada manusia. Oleh itu, kita perlu mengajar diri untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, sama ada kita kenal atau pun tidak.



"Melalui amalan berkongsi rezeki, ia menjadikan kita insan yang lebih bersyukur. Lebih menguntungkan apabila perkongsian rezeki kita menjadi bekalan di akhirat nanti.



"Dengan syarat, kita memperolehi rezeki yang halal dan menyalurkan kepada jalan kebaikan seperti membantu orang atau bersedekah kepada mereka yang memerlukan," ujar Ustaz Mohamed Asysallehan.



BERKONGSI REZEKI



Membantu orang lain adalah satu sifat terpuji kerana bukan semua orang mampu melakukannya.



Apabila terlalu taksub mengumpul harta, ada segelintir yang berasa berat hati untuk mengeluarkannya, kata Ustaz Mohamad.



"Sedarilah bahawa harta atau kekayaan yang kita perolehi bukanlah daripada kita sendiri, tetapi semuanya datang daripada nikmat kurniaan Allah.



"Jika Tuhan pemilik harta tidak memberi, maka kita juga tidak dapat memiliki.



"Sepatutnya kita menunjukkan tanda bersyukur atas kelebihan tersebut dengan berkongsi rezeki dengan orang lain,'' kata Ustaz Mohamad.



ALLAH MAHA MELIHAT



Sesetengah orang tidak ingin membantu orang miskin kerana ingin orang miskin itu belajar daripada kesusahan.



Tetapi ingatlah, Islam mengajar umatnya disuruh untuk beramal dan sentiasa melakukan kebaikan, kata Ustaz Mohamad



Seperti mana Allah swt berfirman:



Maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." (Surah At-Taubah: 105)



Allah Maha Halus lagi Maha Melihat akan mengetahui perbuatan kita.



Setiap kebaikan tidak akan pernah mendapat kerugian. Semuanya akan dihitung walaupun sebesar zarah sekalipun.



JANGAN HUKUM MANUSIA



"Jangan terlalu negatif terhadap orang yang susah. Pasti ada sebab-sebab tertentu yang menjadikan mereka begitu.



"Jika dia memang malas, perkara itu menjadi urusan antara dia dengan Allah. Tugas kita bukan menghukum, tetapi memberi. Selebihnya, serahkan kepada Allah swt.



"Hanya Allah swt yang mampu memberi hidayah kepada seseorang. Maka, hendaklah kita mendoakan yang baik-baik sahaja.



"Sesiapa yang melapangkan urusan seseorang Mukmin, Allah swt pasti akan melapangkan urusannya di akhirat kelak,'' tambah Ustaz Mohamad.



Khamis depan: Malam Jumaat dalam masyarakat kita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >