Beberapa pengusaha makanan Singapura mengambil langkah mengembangkan sayap di luar negara. Ikuti kisah tiga jenama dari Singapura – pemilik restoran 1819 di Singapura; restoran nasi padang Padi; serta jenama Encik Tan – yang membuka cawangan di luar negara.

Permintaan terhadap makanan halal di Jepun semakin meningkat seiring penambahan bilangan pelancong Muslim.

Berdasarkan Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun, antara Januari dengan November 2025, terdapat kira-kira 560,000 pelancong dari Indonesia; 540,000 dari Malaysia; dan 240,000 dari Timur Tengah.

Namun, pilihan yang ada masih terhad.

Kebanyakan restoran kecil di sana menyajikan hidangan Jepun seperti wagyu dan ramen halal dan ada yang tidak mampu menampung kapasiti pelanggan sehingga menyebabkan pelanggan perlu beratur sehingga berjam-jam.

Melihat jurang itu, cef Singapura, Cef Andri Jamil mengembangkan jenama 1819 Aliwal ke Jepun menerusi pembukaan 1819 Osaka pada September 2025.

Menurut beliau, peluang itu menjadi lebih jelas apabila beliau berada di Jepun dan melihat sendiri tabiat pemakanan pelancong.

“Apabila kita melancong, kita akan cuba makanan mereka.

“Tapi selepas beberapa hari, kita tetap akan cari makanan kita, sama ada makanan Indonesia, India, Thai atau Cina,” kata Cef Andri yang juga merupakan pemilik 1819 Osaka.

Tambahnya, pengalaman melihat pelanggan beratur lama turut mendorong keputusan tersebut.

“Saya nampak orang beratur sampai satu jam, kadang-kadang dengan anak kecil atau warga emas.

“Saya rasa memang perlu buka restoran di sini,” katanya.

Terletak berhampiran Dotonbori di daerah Honmachi, restoran berkapasiti 35 tempat duduk itu melibatkan pelaburan sekitar $600,000.

Menurut beliau, idea untuk ke luar negara sudah lama ada, lebih-lebih lagi selepas menutup operasi pertama 1819 di Boat Quay pada 2023, akibat kenaikan sewa mendadak.

“Kami memberikan jiwa dan raga kami di restoran Boat Quay, tetapi sewa naik daripada $24,000 ke $48,000.

“Dari situ saya rasa, kalau ingin berkembang, kami perlu cari pasaran di luar Singapura juga,” katanya.

Namun demikian Cef Andri bersama rakan kongsinya membuka 1819 Aliwal pada 2024 di Pusat Seni Aliwal, yang masih beroperasi hingga hari ini.

Di Osaka, beliau memilih untuk tidak sekadar mengikut selera tempatan, sebaliknya mengekalkan keaslian rasa Asia Tenggara.

“Tiada gunanya datang ke sini untuk ikut sepenuhnya selera tempatan.

“Kami buat nasi lemak secara tradisional, rendang, termasuk sambal belacan,” jelasnya yang mendapati hidangan Asia di Jepun mempunyai rasa yang lebih manis.

Berbeza dengan sesetengah restoran yang menyesuaikan rasa dengan selera tempatan, beliau hanya mengurangkan tahap kepedasan secara minimum.

“Kami turunkan tahap pedas sedikit sahaja.

“Tapi kalau hidangan itu memang perlu pedas seperti lemak cili padi, kami akan tetap kekalkan,” ujarnya.

Antara hidangan yang ditawarkan termasuk tiram cendawan, King Oyster Mushroom Tempura dengan Matcha Hummus; mi Udon Lemak Cili Padi dengan udang; Rendang Beef Short Ribs dengan nasi; sup ekor lembu Oxtail Lemak Cili Padi dengan nasi, serta nasi lemak.

Hidangan lemak udon itu adalah antara yang mendapat sambutan baik.

Restoran 1819 Osaka turut menarik pelancong Muslim, termasuk dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah yang mencari makanan kebiasaan ketika berada di luar negara.

Proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) menu mengambil masa beberapa bulan, dengan lebih 50 idea, sebelum ditapis berdasarkan ketersediaan bahan di Jepun.

“Di Singapura, kalau ada duit kita boleh dapat apa sahaja bahan sepanjang tahun.

“Di Jepun, kita perlu ikut musim. Ada bahan seperti daun laksa atau serai yang kadang-kadang tiada, atau sangat mahal,” jelasnya.

Di samping itu, cabaran mendapatkan bahan halal dan bahan import turut mempengaruhi perancangan menu, selain memastikan setiap daging mempunyai sijil halal lengkap.

“Di Singapura, peraturan halal sangat ketat. Di Jepun ia sesuatu yang samar-samar.

“Ada restoran mesra Muslim tapi masih hidangkan alkohol. Jadi kami pastikan semua bahan betul-betul halal,” katanya.

Kos bahan seperti serai segar boleh mencecah lebih $3 sebatang, namun beliau tetap mengekalkan prinsip keaslian, termasuk penggunaan beras Jasmine – beras wangi dengan butiran panjang.

“Kami tidak mahu tukar ciri-ciri yang ada dalam sesuatu hidangan kerana itulah yang menjadikannya autentik.

“Beras memainkan peranan besar dalam pengalaman makan,” katanya.

Dari segi harga, beliau turut mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menaikkan harga secara berlebihan walaupun kos halal lebih tinggi.

“Saya tak mahu pelanggan bayar terlalu mahal.

“Ada tempat, tiga orang makan boleh cecah $150.

“Jadi kami seimbangkan margin (keuntungan); ada hidangan untung lebih, ada yang rendah,” katanya.

Dengan sambutan memberangsangkan setakat ini, beliau merancang untuk terus mengembangkan jenama 1819 di Jepun bagi memenuhi permintaan makanan halal yang kian meningkat dalam kalangan pelancong Muslim.

“Kalau boleh saya ingin membuka konsep ‘supper’ atau makan lewat malam bagi pelanggan Muslim.

“Ini kerana budaya makan lewat malam di sini (Jepun),” tambah Cef Andri.

“Tiada gunanya datang ke sini untuk ikut sepenuhnya selera tempatan. Kami buat nasi lemak secara tradisional, rendang, termasuk sambal belacan... Kami tidak mahu tukar ciri-ciri yang ada dalam sesuatu hidangan kerana itulah yang menjadikannya autentik.”
Cef Andri Jamil, pemilik 1819 Osaka.
1819 Osaka
Alamat:  イデア御堂筋地下, 1階, 4 Chome-1-1 Minamikyuhojimachi, Chuo Ward, Osaka, 541-0058, Japan
Waktu Operasi:
  • Isnin-Khamis, Sabtu dan Ahad, 12 petang hingga 10 malam. Jumaat, 2 petang hingga 10 malam

Get therelocation-icon