Topic followed successfully
Go to BHkuJenama Encik Tan tembus pasaran antarabangsa dengan cawangan pertama di Jakarta
Jenama Encik Tan tembus pasaran antarabangsa dengan cawangan pertama di Jakarta
Jenama Encik Tan tembus pasaran antarabangsa dengan cawangan pertama di Jakarta
Jenama Encik Tan dikenali dengan hidangan penjaja seperti mi wantan, mi bebola ikan dan nasi kari ayam potong.
Kini jenama tempatan itu melangkah ke peringkat serantau dengan pembukaan cawangan antarabangsa pertamanya di Jakarta, Indonesia.
Cawangan baharu dikenali sebagai Encik Tan Express itu telah memulakan operasi pada Januari 2026 di ruang Food Hall, Tingkat 3, Pondok Indah Mall 3 di Jakarta Selatan.
Pengarah Eksekutifnya, Encik Tan Kim Leng, memberitahu Berita Harian, Jakarta dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama berdasarkan potensi pasaran yang kukuh.
“Jakarta mempunyai budaya kulinari yang rancak, kelas pertengahan bandar yang besar, serta minat tinggi terhadap cita rasa autentik Singapura,” katanya.
Pembukaan itu menandakan pencapaian penting bagi Fei Siong Group dalam usahanya mengembangkan jenama tempatan ke pasaran Asia Tenggara, sambil memperkenalkan makanan Singapura ke pasaran lebih luas.
Menurut beliau, langkah pengembangan itu turut didorong oleh sambutan menggalakkan daripada pelancong Indonesia yang sering mengunjungi cawangan Encik Tan di Singapura.
“Kami sering melihat pelancong Indonesia menjadi pelanggan tetap Encik Tan dan ramai antara mereka menggalakkan kami membuka cawangan di Indonesia supaya makanan penjaja Singapura dapat dinikmati di sana,” jelasnya.
Antara hidangan paling popular dalam kalangan pelanggan Indonesia di Singapura ialah mi bebola ikan, laksa, nasi claypot dan nasi kari Hainan.
Hidangan itu turut diketengahkan sebagai antara pilihan utama dalam menu di Jakarta.
Selain itu, pelanggan di Jakarta juga boleh menikmati pelbagai pilihan lain seperti mi ayam wantan, Chicken Wanton Mee; kari ayam bersama nasi, Curry Chicken Drumstick Rice dan Chicken Cutlet Curry Rice; selain hidangan claypot seperti nasi ayam telur asin, Claypot Salted Egg Yolk Chicken Rice; dan mi Claypot Seafood Noodle.
Bagi memasuki pasaran Indonesia secara berperingkat, Encik Tan memilih konsep ‘ekspres’ yang beroperasi dalam ruang makanan antarabangsa.
“Ini bagus sebagai strategi yang membolehkan jenama Encik Tan berkembang secara lebih mampan sambil menilai penerimaan pasaran tempatan,” kata Encik Tan.
Pemilihan Pondok Indah Mall 3 sebagai lokasi pertama juga dibuat secara strategik.
Pusat beli-belah itu merupakan antara destinasi gaya hidup dan kulinari yang popular di Jakarta Selatan, khususnya dalam kalangan keluarga dan golongan karyawan muda.
“Lokasi ini memberi kami akses kepada kumpulan pengguna yang lebih luas untuk mencuba makanan Encik Tan, selain membantu meningkatkan kesedaran jenama dalam pasaran baharu,” katanya.
Walaupun setakat ini hanya satu cawangan dibuka di Jakarta, Encik Tan berkata kehadiran jenama itu di Indonesia merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang.
Beliau berharap untuk membuka 50 cawangan Encik Tan di Indonesia menjelang 2030.

