Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuzik buka kios jual kopi dan wafel pandan di Sentosa Cove
Pemuzik dan penyanyi, Riduan Yusoff, perkenal sajian tempatan kepada penduduk, masyarakat ekspatriat di Sentosa Kopi
Pemuzik buka kios jual kopi dan wafel pandan di Sentosa Cove
Membesar di Tampines, penyanyi dan pemain piano, Encik Riduan Yusoff, masih mengingati kenangan manis menemani neneknya ke pasar, yang sering membelikannya wafel pandan sebagai kudapan.
Kini, pada usia 35 tahun, beliau menghidupkan kembali kenangan zaman kecil itu di kawasan kediaman mewah Sentosa Cove, dengan memperkenalkan sajian tempatan seperti kopi O, teh tarik dan wafel pandan kepada masyarakat ekspatriat di sana.
Bersama isterinya, Cik Tibyaanah Muhamad, 27 tahun, beliau membuka Sentosa Kopi, sebuah kiosk minuman di Quayside Isle, dengan harapan dapat memperkenalkan cita rasa tempatan kepada penduduk daripada pelbagai latar belakang.
“Saya membesar di Tampines dan selalu ikut nenek ke pasar. Biasanya, nenek akan belikan saya wafel. Sekarang, saya pula dapat menyediakan wafel itu di sini,” katanya.
Kini wafel pandan itu laris dijual dengan 15 kilogram tepung wafel yang sudah habis dalam tempoh seminggu.
Idea membuka perniagaan tersebut tercetus selepas Encik Riduan berpindah ke Sentosa Cove sekitar dua setengah tahun lalu, sejurus selepas mendirikan rumah tangga.
Walaupun kawasan itu mempunyai pelbagai pilihan tempat makan, beliau mendapati pilihan makanan halal dan sajian tempatan agak sukar.
Menurutnya, beliau dan isteri sering perlu keluar dari Sentosa Cove, termasuk ke kawasan Seah Im, untuk mendapatkan makanan yang sesuai.
“Kami sedar di sini ada banyak kafe, tetapi tiada yang menjual kopi O atau teh tarik. Jadi, kami fikir mengapa tidak kembali kepada minuman tradisional yang kita kenali dan menyediakannya dengan baik,” ujarnya semasa diwawancara Berita Harian (BH).
Sebelum memulakan perniagaan, pasangan itu mengunjungi Jepun, Korea Selatan dan Bali untuk mendapatkan inspirasi tentang konsep kopi, selain mengikuti kursus penyediaan kopi di Kuala Lumpur.
Namun, mereka akhirnya memilih untuk menggabungkan kopi khusus (specialty coffee) dengan minuman tradisional tempatan.
Sentosa Kopi menawarkan pelbagai minuman termasuk Americano ($4.50), latte ais ($6) serta minuman kreatif seperti Butter Otter ($7) dan Mont Blanc Pink Cloud ($9), yang diilhamkan daripada haiwan memerang yang sering kelihatan di Sentosa.
Bagi minuman tradisional pelanggan dapat menikmati Teh Tarik (panas, $2,70 dan ais $2.90), Kopi O (panas $2 dan ais $2.20) dan Teh O (panas $2.00 dan ais $2.20).
Menariknya, sajian tempatan turut mendapat sambutan dalam kalangan ekspatriat.
“Ada pelanggan dari Amerika dan Sweden yang sangat suka teh tarik kami. Pada mulanya, ramai juga yang tidak mengenali wafel pandan,” katanya.
Kini, wafel pandan menjadi antara kudapan yang digemari kanak-kanak di kawasan tersebut, yang sering singgah selepas tamat sekolah atau kelas tambahan.
“Seronok melihat kanak-kanak di sini menikmati wafel seperti yang saya nikmati semasa kecil. Pengalaman yang biasa kita lihat di kawasan kejiranan kini dapat dirasai di Sentosa Cove,” tambahnya.
Kios tersebut mula beroperasi seawal 7 pagi bagi memenuhi permintaan penduduk dan pekerja di kawasan sekitar.
“Ada pelanggan yang sudah beratur pada 6.55 pagi untuk mendapatkan kopi. Mereka akan suruh kami ambil masa dan tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.
Selain mengusahakan perniagaan kopi, Encik Riduan masih aktif dalam industri hiburan. Beliau mengendalikan sebuah syarikat yang menguruskan sekitar 55 pemuzik untuk persembahan di 12 lokasi, selain mengajar piano kepada penduduk di Sentosa Cove.
Beliau turut membuat persembahan nyanyian di hotel seperti W Singapore.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Encik Riduan kini bercita-cita mengembangkan Sentosa Kopi dengan membuka sebuah pusat pemanggangan kopi sendiri.
“Saya dan isteri mahu menghasilkan biji kopi jenama sendiri dan akhirnya membuka sebuah tempat memanggang kopi. Pada masa yang sama, saya mahu terus memperkenalkan kopi O, teh O dan kopi tempatan,” katanya.
Sentosa Kopi
Alamat: 31 Ocean Way, #01 - 23A Quayside Isle, Singapura 098375Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 7 malam