Di bawah sebuah blok perumahan, cahaya jingga malap menyinari meja beralas batik, dengan hiasan wayang kulit menambahkan sentuhan budaya Indonesia pada ruang kecil yang terasa hangat dan bersahaja.

Di Nemu Senja, pengasasnya, Encik Muhammad Agus Faizal, 37 tahun, dan isterinya, Cik Zahra Mansor, 38 tahun, mahu pelanggan datang bukan sekadar untuk secawan kopi.

Lebih daripada secawan kopi, pemilik Nemu Senja ingin pelanggan rasa santai dan tenang di warong kopi di Ang Mo Kio itu.
Lebih daripada secawan kopi, pemilik Nemu Senja ingin pelanggan rasa santai dan tenang di warong kopi di Ang Mo Kio itu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebaliknya, kopi menjadi ‘perantaraan’ untuk mereka berhenti sejenak, berinteraksi dan mencari sedikit ketenangan daripada kehidupan Singapura yang serba pantas.

“Kadang-kadang, terutama di Singapura, kita terlalu tertekan dengan kerja atau kehidupan.

“Kita terlupa untuk berhenti seketika, memperlahankan diri dan menikmati saat yang ada.

“Perkataan ‘nemu’ itu bermaksud jumpa, sementara senja ialah waktu apabila matahari sudah terbenam, menandakan masa untuk berehat.

“Sebab itu namanya Nemu Senja,” kata Encik Agus kepada Berita Harian (BH).

Dilahirkan di kawasan Klaten, Yogyakarta, Indonesia, Encik Agus mendapat inspirasi daripada budaya minum kopi di negara kelahirannya, di mana kopi tidak semestinya diminum untuk memulakan hari.

“Di Indonesia, orang minum kopi pagi, petang, siang dan malam. Ada kafe yang buka sampai 12 malam.

“Sampailah saya diberitahu, ‘Kopi itu bukan untuk bangun, tetapi untuk menenangkan diri’.

Dari situ, cara saya melihat kopi berubah,” luahnya.

Pemahaman itu semakin mendalam selepas beliau mengunjungi sebuah warung kopi milik Mas Agung, di Batam pada 2021 ketika melalui tempoh yang disifatkannya sebagai masa untuk ‘healing’ (mencari ketenangan).

“Warung kopi itu membuat saya berasa tenang dan aman.

“Saya tidak rasa seperti perlu tergesa-gesa,” kongsi Encik Agung.

“Ada pelanggan yang datang ke situ untuk berkongsi cerita, ada yang menangis.

“Apabila minum kopi, mereka akan duduk sejenak dan berehat.

“Saya sendiri ketika itu sedang cuba mencari ketenangan.

“Apabila minum kopi, saya dapat melupakan seketika segala masalah yang bermain di fikiran,” tambahnya.

Semangat warung itu kini cuba dibawa ke Nemu Senja yang terletak di bawah kolong Blok 532, Ang Mo Kio Avenue 10.

“Kita bukan kafe. Kita warung, warung kopi,” tegas Encik Agus.

“Tak perlu pergi jauh sampai ke Kawasan Pusat Bandar (CBD) untuk dapatkan kopi yang baik.

“Kalau warung kopi dekat dengan rumah, pakai seluar pendek dan singlet pun boleh datang minum kopi, berbual dan santai.”

Cik Zahra pula mengatakan Nemu Senja seperti ‘rumah ketiga’ selain rumah dan tempat kerja yang boleh membuat seseorang berasa selamat dan selesa.

“Ini lebih daripada sekadar secawan kopi. Kopi ini perantaraan.

“Kalau hubungan kami dengan pelanggan baik dan mereka selesa dengan kami, mereka akan datang semula bukan hanya kerana kopi, tetapi kerana hubungan itu,” katanya.

Ada kalanya, hubungan itu berlanjutan selepas kafenya tutup.

Encik Agus teringat seorang pelanggan yang tiba sekitar 8 malam dan duduk bersamanya sehingga 10 malam untuk meluahkan perasaan.

“Beliau datang ketika kami sudah mahu tutup. Akhirnya, beliau duduk sampai 10 malam meluahkan perasaan beliau.

“Kadang-kadang orang cuma perlukan tempat untuk duduk dan seseorang untuk mendengar,” katanya.

Identiti Indonesia di Nemu Senja turut diterjemahkan menerusi kopinya.

Biji kopi berasal dari Sumatera dan Ijen (di Jawa Timur), dipanggang di Batam, manakala minuman seperti kopi Senja menggabungkan espreso Robusta, gula aren (kabung), susu pekat dan susu segar.

“Sirap aren pula dibuat sendiri menggunakan campuran sekitar lima bahan termasuk gula aren, daun pandan, cengkih, kayu manis dan buah pelaga,” kongsi Cik Zahra.

Namun, kata Encik Agus, kopi tetap bukan perkara paling utama di Nemu Senja.

“Keutamaan kita sebenarnya pelanggan. Kopi itu nombor dua.

“Kita mahu orang datang, duduk dan perlahankan rentak hidup seketika.

“Itulah Nemu Senja, kita sentiasa ambil satu langkah ke belakang dan memperlahankan diri,” ujar Encik Agus.

Nemu Senja
Alamat: Blok 532, Ang Mo Kio Avenue 10, #01-2473B, Cheng San Centre, Singapura 560532
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Ahad, 10 pagi hingga 7 malam

Get therelocation-icon
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti