Pada 2013, pemilik kafe Momolato, Cik Sharon Tay, mengambil keputusan berani tetapi yakin dalam meninggalkan kerjaya perbankan untuk meneruskan minat membuat dan meniaga aiskrim Italy, gelato.
Sebagaimana kata Cik Tay:
“Saya membuat pilihan besar dalam hidup saya. Bekerja dalam industri perbankan memerlukan saya bekerja pada tempoh waktu yang panjang, tetapi hujung minggu dikhususkan untuk saya berehat.
“Perniagaan gelato ini menjadi projek niaga istimewa buat saya.
“Walaupun hujung minggu saya terisi dengan usaha niaga kerana saya sentiasa perlu memikirkan perisa baru, kegembiraan membuat gelato sendiri menjadikan semuanya berbaloi.”
Didorong minat dalam dunia penghasilan gelato, Cik Tay mendapatkan latihan awal di Universiti Carpigiani Gelato di Bologna, Italy, selama tiga bulan.
Beliau kemudian bereksperimen dengan mencipta sehingga 300 perisa di Singapura.
Sejak 2013, Momolato merupakan jenama gelato halal tempatan yang dikenali ramai.
Mulanya, gelato yang dijual merupakan hasil buatan tangan di reruai ‘pop-up’.
Namun dengan cepat, jenama itu menarik perhatian pemilik kafe aiskrim dan gelato serta aiskrim premium.
“Membuat gelato memang mencabar, terutama di sini kerana selera berubah-ubah. Justeru kami perlu sentiasa memikirkan idea inovatif,” katanya.
Semangat melakar inovasi itu terserlah di kafe gelato baru Momolato di North Bridge Road, yang disifatkan Cik Tay sebagai ‘taman permainan’ gelato untuk pelanggan mencuba perisa baru yang menyegarkan.
Kedai yang luas itu menawarkan 24 perisa gelato termasuk enam perisa baru seperti, ‘Hibiscus Apple’ dan ‘Sweet Corn Cempedak’.
“Kami mahukan tempat yang membolehkan pelanggan mencuba dan meluangkan masa meneroka perisa unik,” jelasnya.
Menu cawangan kafe itu mencerminkan kreativiti Cik Tay dalam menampilkan pencuci mulut di luar perisa gelato tradisional.
Hidangan lain termasuk, Puding dan Wafel Kunafa yang diinspirasikan dari Timur Tengah serta dilapiskan dengan mousse pistasio Sicily dan gelato pistasio.
Terdapat juga aiskrim mochi goreng. Ia rangup di luar bahagian luar sementara intinya pula kenyal.
Menu Momolato tidak berhenti pada pencuci mulut.
Cawangan kedua di 723 North Bridge Road menawarkan sajian lazat termasuk burger, ‘Smashed Mozzie Burger’.
“Tidak semua orang mempunyai cita rasa manis, jadi kami mahu memenuhi cita rasa yang pelbagai,”tambah Cik Tay.
Duta Gelato Momolato, Cik Hani Husni, pula berkongsi:
“Saya lebih suka gelato kerana perisanya yang pelbagai.
“Kami sentiasa mendengar maklum balas mengenai apa yang pelanggan suka.
“Pada masa ini, perisa teh susu popular. Namun, kami sedang mengusahakan perisa butterscotch dan juga kopi.”
Proses membuat gelato Momolato harus dilakukan dengan teliti dan mengambil masa beberapa jam untuk disediakan.
“Kami bermula dengan asas – susu, gula, dan protein – memanaskan dan mempasteurkannya, kemudian memasukkan perisa.
“Sesetengah perisa, seperti bunga, memerlukan infusi (proses rendaman untuk mendapatkan ekstraknya) semalaman. Seluruh proses boleh mengambil masa sehari, tetapi usaha itu berbaloi,” jelas Cik Tay.
Antara perisa gelato yang boleh didapati di Momolato ialah ‘Blue Pea White Chocolate Raspberry’, ‘Popcorn Butterscotch’, ‘Ube Cheese’, ‘Triple Dark Chocolate’ dan ‘Chili Mango’.
Secedok gelato berharga sekurang-kurangnya $5.30. Anda hanya perlu menambah $1 untuk perisa tertentu.
Ditanya mengenai sajian yang bertakhta di hatinya, Cik Tay menjelaskan ciptaan pertama beliau iaitu, sorbet coklat gelap, sangat istimewa.
“Tubuh saya tidak boleh menghadam laktosa atau gula dalam susu dan bahan tenusu.
“Jadi saya mahukan sesuatu yang boleh saya nikmati. Sorbet coklat gelap itu masih antara perisa yang paling laris di kafe kami,” katanya sambil menambah bahawa perisa popular lain termasuk, ‘Sea Salt Pistachio’ dan ‘Hibiscus Apple’.
Cik Tay turut berkongsi perjalanan Momolato sebagai jenama halal.
“Ia tidak sukar untuk kami kerana kami telah menggunakan bahan-bahan yang mesra halal.
“Tetapi proses pensijilan adalah ketat, yang penting dalam landskap pelbagai budaya Singapura,” jelasnya.
Kedudukan Momolato di Haji Lane kekal kukuh.
“Kami suka kawasan yang meriah dan penuh dengan warna-warni kehidupan. Tetapi satu aduan yang berterusan ialah kekurangan tempat duduk.
“Cawangan baru ini membolehkan kami menerima lebih ramai pelanggan dan mewujudkan ruang pelanggan benar-benar boleh menikmati gelato kami.” tambahnya.
Mutu gelato pula kekal diutamakan Momolato.
“Walaupun kacang pistasio mahal, kami menggunakan banyak kekacang ini untuk memastikan perisanya terserlah dan saya tidak mahu pelanggan bertanya seandainya rasanya kurang sebab pistasio dikurangkan,” katanya.
Ahad hingga Khamis, 11 pagi hingga 11 malam. Jumaat dan Sabtu, 11pagi hingga 1 pagi. Tutup pada hari Isnin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg