Semasa bergelar mahasiswa Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 2015, Cik Siti Nurhayati Rahim, berdepan kekurangan pilihan makanan halal di kampus.
“Pada masa itu, terdapat jenama sandwic terkenal yang tidak halal.
“Jadi saya bersama abang saya fikir, jika tiada sesiapa yang menawarkannya, mengapa tidak kami melakukannya?” jelas Cik Nurhayati, 30 tahun, yang teruja ingin memenuhi keperluan tersebut.
Pengalaman itu mencetus idea bagi beliau dan abangnya, Encik Muhammad Izhaq Rahim, 34 tahun, untuk membuka GomGom, sebuah gerai sandwic dan salad yang direka khusus untuk mahasiswa.
Menurut Cik Nurhayati, lulusan SUTD dalam bidang Kejuruteraan pada 2018, sambutan pada masa itu amat menggalakkan.
“Mahasiswa menerima GomGom bukan sahaja kerana ia mudah dinikmati bahkan juga kerana rasa dan harganya yang berpatutan,” tambahnya.
Kini, hampir sedekad kemudian, pasangan adik-beradik itu melancarkan Snappy Bowls di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
“Snappy Bowls mencerminkan hidangan yang pantas disiapkan dengan pelbagai pilihan yang boleh dipilih. Itulah sebabnya kami menamakannya ‘Snappy’,” jelas Cik Nurhayati.
“Mereka boleh memilih makanan asas seperti nasi pilaf Mediterranean, kuskus lemon, mi soba atau salad, kemudian menambah tiga hidangan sampingan, protein dan juga sos.
“Saya ingin menawarkan makanan yang sihat dengan harga berpatutan dan mudah untuk mereka nikmati,” katanya.
Menu yang disajikan menampilkan pelbagai pilihan sampingan sejuk seperti timun Jepun, tomato ceri, edamame (makanan sampingan dalam sajian Jepun) dan hummus yang dibuat dengan lada Benggala.
Manakala pilihan panas pula termasuk labu berempah yang dipanggang dan cendawan panggang.
Bagi pilihan protein pula, pelanggan boleh memilih ayam pedas, ayam teriyaki, ayam kebab atau daging lembu yang disiat menggunakan resipi ibu mereka.
“Ibu kami sering masak di rumah. Justeru saya dan abang meminta izin untuk menggunakan resipi ayam kebab yang ibu sering masak di rumah,” tambahnya.
Harga di Snappy Bowls bermula daripada $6.50 hingga $9.50, dengan diskaun 10 peratus khas bagi mahasiswa dan kakitangan SMU.
Kaki Makan berpeluang mencuba kuskus lemon dengan daging lembu yang disiat, labu dan cendawan panggang.
Setiap suapan terasa seimbang, cukup mengenyangkan tanpa terasa terlalu berat.
Sebahagian besar bahan dipanggang atau dimasak menggunakan ketuhar, menjadikannya lebih sihat tanpa menjejas rasa.
Namun, di sebalik sajian yang kelihatan ringkas, proses penyediaan di Snappy Bowls tidak mudah.
“Penyediaan bahan agak berat. Kami bermula seawal 8 pagi dan melakukan semuanya secara segar – daripada bahan untuk ‘build your own bowl’ (memilih dan menyiapkan sendiri sajian anda) hinggalah ke biskut dan mufin.
“Kami tidak membeli barangan yang sudah sedia ada kerana ia lebih mahal dan rasanya mungkin sama seperti yang sudah ada di pasaran.
“Dengan membuatnya sendiri, kami dapat mengawal kos, rasa dan menyuntik inovasi,” jelasnya.
Pendekatan itu bukan sahaja digunakan di Snappy Bowls, malah pada jenama pencuci mulut mereka, OkieCo.
OkieCo dilancarkan semasa pandemik semasa banyak kedai makanan dan minuman terpaksa ditutup.
“Kami mahu mencipta pencuci mulut yang mudah dihantar.
“Ketika itu, kakak saya pula mengidam puding pisang daripada Magnolia Bakery di Dubai, jadi kami buat versi kami sendiri.”
Puding pisang ialah pencuci mulut berkrim dan berlapiskan puding vanila, pisang dan biskut rangup.
“Kami mencubanya di rumah dahulu buat beberapa kali dan maklum balas yang kami terima sangat baik,” katanya.
Sambutan yang diterima begitu menggalakkan, bukan sahaja daripada mahasiswa, malah pelanggan luar juga sanggup datang ke SUTD semata-mata untuk mendapatkannya atau memesannya secara dalam talian.
Kini, OkieCo masih menawarkan puding pisang pada harga $7.20, selain pilihan pencuci mulut lain seperti biskut pada harga $1.80 sebiji dan mufin $2.50 dalam pelbagai perisa.
Perisa puding daripada OkieCo termasuk, The Classic, Choc Fudge, Speculoos dan Peanut Butter & Jelly.
Pasangan adik-beradik itu juga pernah mencuba untuk membuka cawangan di Kawasan Pusat Bandar (CBD) selepas pandemik.
Namun, kini mereka kembali menumpukan perhatian pada konsep makanan di kampus.
“Sekolah adalah tempat kami bermula dan di sinilah kami rasa kami boleh memberi kesan yang paling besar.
“Harga juga lebih sesuai untuk mahasiswa dan kami kurang selesa mengenakan harga yang terlalu tinggi jika berniaga di lokasi seperti CBD,” tambahnya.
Kini, impian mereka adalah untuk memperluaskan kehadiran di setiap institusi pengajian tinggi di Singapura.
“Kami mahu mahasiswa mendapatkan makanan halal yang sihat dan berpatutan,” jelasnya.
Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 7 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg