Selepas bertahun-tahun dikenali dengan daging salai, wagyu dan hidangan eksperimental menerusi jenama, The Social Outcast (TSO), Cef Aminurrashid Hasnordin, kini memilih untuk kembali ke asal usul dengan meraikan masakan Melayu.

Lebih dikenali sebagai Cef Mint, beliau kini mengetengahkan jenama Warisan Api, satu gerai sementara di Kedai Kopi di Haig Road selama tiga bulan mulai September yang menggabungkan kepakarannya memasak hidangan tradisional Melayu menggunakan arang dan api.

Antara hidangan yang disediakan di ‘pop-up’ Cef Mint termasuk (mengikut putaran jam, dari kiri) Asam Picit Ikan Bakar, $14 dan Udang Bakar, $16, yang disajikan bersama nasi ulam, sambal ikan kurau masin dan kaldu ayam. Hidangan sampingan ialah ayam percik Kelantan, $7 dan Kerang Bakar Pecel, $6 yang disertakan dengan sos pecel.
Antara hidangan yang disediakan di ‘pop-up’ Cef Mint termasuk (mengikut putaran jam, dari kiri) Asam Picit Ikan Bakar, $14 dan Udang Bakar, $16, yang disajikan bersama nasi ulam, sambal ikan kurau masin dan kaldu ayam. Hidangan sampingan ialah ayam percik Kelantan, $7 dan Kerang Bakar Pecel, $6 yang disertakan dengan sos pecel. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Antara yang diketengahkan ialah Asam Picit, hidangan berasaskan asam jawa yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu di utara Semenanjung Malaysia.

Hidangan ringkas itu lazimnya dinikmati bersama ikan dan nasi, dengan perkataan ‘picit’ merujuk kepada perbuatan memicit atau meramas bahan menggunakan tangan dan dicecah bersama asam jawa.

Menurut Cef Mint, 46 tahun, Warisan Api bukan sekadar konsep makanan baharu, sebaliknya usaha kecil untuk menghidupkan kembali hidangan dan cara makan yang semakin sukar ditemui.

“Saya mahu mulakan satu gerakan supaya orang ramai menghargai makanan Melayu dan tahu dari mana asalnya.

“Kita selalu tertarik dengan budaya orang lain. Tidak ada salahnya, tetapi kita juga perlu ada penghargaan terhadap budaya sendiri,” kata cef bagi jenama serta perunding konsep Warisan Api itu.

Cef Mint terkenal dengan teknik masakan menggunakan api untuk daging salai, wagyu dan hidangan eksperimental menerusi The Social Outcast (TSO). Beliau kini membawa sentuhan yang sama ke Warisan Api.
Cef Mint terkenal dengan teknik masakan menggunakan api untuk daging salai, wagyu dan hidangan eksperimental menerusi The Social Outcast (TSO). Beliau kini membawa sentuhan yang sama ke Warisan Api. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Keprihatinan itu timbul selepas beliau melihat perubahan dalam landskap makanan halal tempatan, termasuk di bazar Ramadan Geylang Serai yang pernah menjadi tempat beliau menemui pelbagai makanan tradisional.

Menurutnya, dahulu pengunjung boleh menemui ayam percik, kuih tradisional, pais dan lemang yang dibuat keluarga yang mungkin hanya menjual hidangan tersebut pada Ramadan.

Namun, pengalaman itu dirasakan semakin berbeza hari ini apabila makanan yang mengejar unsur kebaharuan dan yang tular di media sosial semakin mendapat perhatian.

“Kalau generasi muda boleh mengenali setiap makanan tular tetapi tidak mengenali makanan tradisional daripada budaya mereka sendiri, mungkin kita perlu bertanya apa yang sedang kita korbankan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masalahnya bukan kewujudan makanan moden atau makanan daripada budaya lain, tetapi ruang untuk makanan warisan Melayu yang dirasakan semakin mengecil.

Malah, katanya, untuk mencari sesetengah makanan tradisional masyarakat Jawa, Bawean atau Melayu hari ini, seseorang perlu mencarinya secara khusus.

Selepas TSO ditutup pada Mac 2025, Cef Mint mula membaca dan meneliti bahan mengenai sejarah makanan Melayu, termasuk buku, The Food of Singapore Malays, oleh Encik Khir Johari.

“Warisan biasanya tidak hilang secara mendadak. Ia hilang secara senyap.

“Satu generasi semakin jarang memasaknya. Generasi seterusnya pula tidak mempelajarinya.

“Akhirnya, cucu mereka melihat nama hidangan itu tetapi langsung tidak tahu bagaimana rasanya. Begitulah makanan boleh hilang,” katanya.

Perjalanan Warisan Api berbeza daripada TSO yang bermula sebagai gerai burger di Tampines pada 2019 sebelum berkembang ke Simpang Bedok, The Grandstand di Bukit Timah dan akhirnya menjadi restoran di Katong.

Cef Mint mula berkecimpung dalam dunia makanan dan minuman (F&B) dengan menjual burger wagyu di sebuah kedai kopi di Tampines Street 22 sejak 2019, lalu berkembang dengan konsep ‘indie’ di Simpang Bedok, The Grandstand dan Katong sebelum ia tutup pada 2025.
Cef Mint mula berkecimpung dalam dunia makanan dan minuman (F&B) dengan menjual burger wagyu di sebuah kedai kopi di Tampines Street 22 sejak 2019, lalu berkembang dengan konsep ‘indie’ di Simpang Bedok, The Grandstand dan Katong sebelum ia tutup pada 2025. - Foto ST

Ketika itu, Cef Mint dikenali kerana bereksperimen dengan daging salai, wagyu dan masakan menggunakan api.

Namun, selepas lima tahun, beliau berasa TSO telah mencapai sebahagian besar matlamat asalnya dan sukar dikembangkan pada skala lebih besar.

Teknik memasak dengan api dan salai daging yang pernah menjadi identiti TSO digunakan kembali bagi masakan masyarakat Melayu.

“Semakin kita baca dan meneliti sejarah, kita sedar orang Melayu dahulu pun banyak memasak menggunakan api.

“Lemang dimasak dengan api, kita turut ada daging salai. Kita sudah melakukannya sejak dahulu, cuma dengan cara kita sendiri,” katanya.

Di Warisan Api, pelanggan boleh memilih set ikan, sotong, udang atau paha ayam percik yang dibakar menggunakan arang.

Set tersebut disajikan bersama Nasi Ulam Bunga Telang, yang mengandungi sekitar 10 jenis bahan dan ulam, kaldu ayam serta Asam Picit.

Antara ulam tersebut ialah daun selasih Thai, udang kering, tauge, daun ketumbar, kerisik, bawang merah, kacang panjang, bunga kantan, timun dan sambal ikan kurau masin.

Turut dihidangkan ialah sate Kerang Bakar Pecel, yang diilhamkan daripada penyelidikan Cef Mint mengenai sate kerang yang pernah menjadi sebahagian daripada budaya makan Singapura sekitar 1970-an.

Namun, lebih daripada memperkenalkan semula hidangan lama, beliau berharap makanan itu dapat mencetuskan kembali kenangan dan perbualan antara generasi.

“Makanan bagi saya ialah satu detik yang mengingatkan kita kepada kasih sayang.

“Mungkin ia mengingatkan seseorang kepada mak, nenek atau adik-beradik yang sudah tiada, dan zaman mereka duduk bersama serta berkongsi Asam Picit daripada satu mangkuk. Saya mahu bawa kembali, memori, nostalgia dan kasih sayang,” katanya.

“Warisan biasanya tidak hilang secara mendadak. Ia hilang secara senyap. Satu generasi semakin jarang memasaknya. Generasi seterusnya pula tidak mempelajarinya... Semakin kita baca dan meneliti sejarah, kita sedar orang Melayu dahulu pun banyak memasak menggunakan api. Lemang dimasak dengan api, kita turut ada daging salai. Kita sudah melakukannya sejak dahulu, cuma dengan cara kita sendiri.”
Cef Aminurrashid Hasnordin atau lebih dikenali sebagai Cef Mint yang membuka gerai ‘pop-up’ Warisan Api.
Warisan Api @ Kedai Kopi
Alamat: 12 Haig Road, #01-323, Singapura 430012
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 10.30 malam

Get therelocation-icon
Laporan berkaitan