Rasa kehilangan budaya masakan dek kemudahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasa kehilangan budaya masakan dek kemudahan

Feb 22, 2026 | 5:37 AM

Rasa kehilangan budaya masakan dek kemudahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penulis ruangan Kaki Makan, Cik Dahlia Zulkifli bersama sejarawan makanan dan penulis buku ‘The Food of Singapore Malays’, Encik Khir Johari di Warong Nasi Pariaman setalah ia mengumumkan penutupannya selepas 78 tahun.
Penulis ruangan Kaki Makan, Cik Dahlia Zulkifli bersama sejarawan makanan dan penulis buku ‘The Food of Singapore Malays’, Encik Khir Johari di Warong Nasi Pariaman setalah ia mengumumkan penutupannya selepas 78 tahun. - Foto BM oleh DAHLIA ZULKIFLI

Sejujurnya, sebelum mengendalikan ruangan Kaki Makan, saya sudah sedia seorang pencinta makanan.

Sejak kecil, ibu bapa mendidik saya untuk tidak memilih dan menghargai hidangan Melayu.

Saya masih ingat dipanggil mengambil bahan dari peti sejuk, mengacau lauk di dapur, atau sekadar memerhati ibu memasak dengan teliti.

Bagi mereka, memasak bukan hanya untuk kenyang, malah untuk menyatukan keluarga.

Daripada air tangan merekalah saya faham, makanan adalah kasih sayang yang boleh dirasa.

Namun hari ini, kehidupan bergerak terlalu pantas.

Dengan satu sentuhan pada aplikasi seperti Luckin Coffee, minuman siap terhidang dalam beberapa minit.

Pasar raya dipenuhi makanan sedia dimakan dan pes segera.

Banyak perniagaan warisan pula melabur dalam oven ‘combi’ (ketuhar kombinasi yang moden yang menggabungkan fungsi bakar dan kukus) dan periuk nasi elektrik demi memenuhi permintaan serta menjimatkan kos.

Kelajuan diangkat sebagai ‘raja’.

Namun, soalan ini sering berbisik di hati: ‘Apa kesannya apabila kita memilih kelajuan berbanding warisan kita sebagai orang Melayu?’

Dalam artikel ‘Future of Food Scenario’ oleh Food Industry Executive, dinyatakan bahawa pemodenan dalam masakan membawa kemudahan, kecekapan dan keselamatan yang besar.

Namun, ia juga menimbulkan risiko ketara terhadap kelangsungan amalan kulinari tradisional, warisan dan serantau.

Lebih 70 peratus tradisi kulinari dianggap berisiko pupus akibat kebangkitan makanan berindustri, makanan segera dan semakin kurangnya pemindahan kemahiran antara generasi.

Saya teringat pertemuan saya dengan sejarawan makanan, Encik Khir Johari, di Warung Nasi Pariaman sebelum ia menutup tirai.

Wajahnya menyimpan rasa kehilangan yang jelas.

“Saya merasakan kehilangan besar kerana warung Pariaman merupakan satu institusi yang sudah beroperasi begitu lama,” katanya.

Sejak kecil beliau menikmati ayam gulai dan rendang di situ.

Mereka masih menggunakan arang dan mengukus nasi sendiri.

Menggunakan arang itu menambah rasa salai dan yang jarang ditemui di gerai nasi Padang lain.

Sepanjang saya membuat liputan, saya melihat dua dunia yang berbeza.

Ada pemilik yang mengembangkan perniagaan melalui automasi dan penstrukturan semula aliran kerja.

Pondok Abang, misalnya, melabur dalam automasi dan memperkenalkan produk sejuk beku demi memenuhi gaya hidup moden.

Pemiliknya, Encik Hasan Abdul Rahman, berkata kemudahan menjadi tarikan utama, terutama bagi mereka yang tidak sempat ke pasar atau berdiri lama di dapur.

Namun di sudut lain, ada insan seperti Cik Juniza Zakaria dari Pondok by June Zack yang bangun seawal 3 pagi.

Daripada mengisar rempah, tumis sampai masak, semuanya beliau buat sendiri.

Begitu juga Warung Selera Masakan Kampung yang diasaskan Cik Aini Amat dan kini diteruskan anaknya, Cik Nashibah Tahar, menyediakan sehingga 50 lauk setiap hari.

Saya tidak menolak kemajuan.

Ada restoran Minangkabau yang menggunakan mesin khas untuk membantu proses mengacau rendang selama lima jam tanpa mengubah rasa, antaranya ialah Rumah Makan Minang.

“Ia bukan tentang mengubah rasa, tetapi menjadikan kerja lebih cekap,” kata pengarah urusan dan pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, yang berpendapat inovasi dan tradisi tidak semestinya bermusuh.

Namun sebagai orang Melayu, saya percaya identiti kita bukan sekadar bahasa, bangsa di kad pengenalan atau baju kurung yang kita pakai menjelang Hari Raya ini.

Ia juga terletak pada makanan yang kita warisi.

Dalam bulan Ramadan ini, mungkin kita boleh meluangkan masa ke dapur, belajar satu dua resipi daripada ibu atau nenek selagi mereka masih ada, atau sekurang-kurangnya mencuba resipi mudah yang dikongsi oleh Khairul Aming di wadah media sosial.

Ini kerana apabila kita memasak dengan tangan sendiri, kita sebenarnya memasak dengan hati dan kasih sayang.

Sayang, jika segalanya terlalu cepat, kita mungkin kenyang tetapi apakah yang ingin kita wariskan kepada anak cucu dan generasi akan datang?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg