Dua beradik pelajar poly teruskan warisan nenek niaga di bazar Admiralty
Dua beradik pelajar poly teruskan warisan nenek niaga di bazar Admiralty
Jual burger ‘smashed’ dengan perisa unik mentega kacang
Di sebalik kemeriahan di Bazar Raya Utara di Admiralty, tersimpan kisah dua beradik yang menempuh pengalaman pertama mereka sebagai penjual bazar dikenali sebagai SmashedJr by Dlailaz.
Bagi Encik Muhammad Ian Faris Mohamad Shamsi, 17 tahun; dan kakaknya, Cik Nur Alisha Mohamad Shamsi, 18 tahun, yang kededuanya pelajar Politeknik Ngee Ann (NP), pengalaman itu bukan sekadar berniaga, bahkan juga menyambung legasi keluarga yang diwarisi daripada nenek mereka.
“Saya memang suka masak, terutama sekali makanan Barat.
“Saya juga ingin meneruskan legasi nenek saya yang sering membuat katering untuk majlis perkahwinan dan Raya.
“Nenek saya biasanya jual masakan Melayu seperti sambal udang dan nasi ambeng,” kata Encik Faris yang merupakan pelajar tahun kedua dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di NP.
Idea membuka gerai tercetus secara spontan.
Encik Faris sering memasak burger di rumah untuk makan malam sebelum ayahnya mencadangkan mereka mencuba nasib di bazar Ramadan.
Rasa takut jelas turut dirasainya.
“Saya rasa agak takut sebab ini kali pertama kami uruskan gerai sendiri. Kami tidak tahu cara untuk menguruskan gerai sendirian,” ujarnya.
Namun, bagi Encik Faris, bekerja bersama kakaknya membuatkan pengalaman itu lebih mudah.
“Bergabung sebagai adik-beradik lebih selesa. Dia kakak saya, saya boleh marah dia sikit berbanding orang luar,” tambahnya.
Cik Alisha juga mengakui perasaan bercampur baur antara teruja dengan gementar.
“Saya rasa takut sedikit, tapi seronok dapat melakukan perniagaan ini bersama keluarga sambil beramah mesra dengan pelanggan di bazar.
“Bekerja dengan adik saya dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga,” ceritanya yang merupakan pelajar tahun ketiga dalam jurusan Komunikasi Massa di NP.
SmashedJr by Dlailaz menawarkan pilihan burger smashed dengan dagingnya dilenyek.
Harga bagi setiap burger bermula daripada $8, termasuk perisa klasik, samyang kimchi, mentega kacang dan mentaiko.
Burger mentega kacang menjadi kegemaran keluarga mereka.
“Kegemaran keluarga kami ialah peanut butter burger. Ia lain daripada lain. Kami amat pentingkan mutu.
“Kami menggunakan roti burger yang mahal sedikit sebab ia lebih lembut dan enak,” jelas Cik Alisha.
Beliau turut menasihatkan belia yang ingin membuka gerai di bazar agar mengira kos dengan teliti dan mengambil masa untuk melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) dengan sebaiknya.
“Selepas semuanya selesai, yakinlah dengan diri sendiri dan beranikan diri untuk mencuba.
“Ia memang satu pengalaman yang sangat berbeza, kadang-kadang boleh jadi stres, tetapi ada masanya sangat menyeronokkan dan mengujakan, terutamanya apabila dapat berinteraksi dengan orang ramai,” katanya.
Selain burger, mereka turut menjual roti john klasik, $8; serawa durian, $8; dan pani puri klasik, $8 (dan premium $15).
Ibu mereka, Cik Yansary Abdullah, 42 tahun, memerhatikan dengan bangga walaupun awalnya risau.
“Berbulan mereka buat R&D dan poster. Saya dan bapa mereka risau, tapi bangga mereka keluar dari zon selesa untuk cuba sesuatu yang baru,” katanya yang bekerja sebagai pustawakan.
Inspirasi SmashedJr datang daripada neneknya, Cik Norlaila Ajob, 63 tahun, yang bekerja keras untuk keluarga.
Menerusi hasil katering majlis perkahwinan, Cik Norlaila memastikan keluarga mereka mendapat peluang untuk menumpukan pada akademik.
Kini, dua beradik itu bukan sahaja menyambung legasi nenek mereka, bahkan juga menimba pengalaman mereka sendiri.
Mereka membawa sentuhan kasih sayang dan sikap teliti kepada setiap hidangan yang dihasilkan.
SmashedJr by Dlailaz
Alamat: Bazar Raya Utara, 718 Woodlands Avenue 6, Gerai 1512 Februari hingga 19 Mac, dari 3 petang hingga habis

