Di meja makan, terhidang nasi putih, ikan kering, sedikit sayur dan sambal belacan.

Nak kuah? Campur air panas dengan nasi.

Itulah cara arwah ibu Encik Mohamed Irwan Masop, Allahyarhamha Jahidon Mustaffa Khan, ‘mencipta’ kuah ketika keluarga kecil mereka tidak mampu membeli lauk.

Ia menjadi hidangan harian buat Encik Irwan dan kakaknya.

Kadangkala, apabila terlalu kering untuk ditelan, air panas akan digaul bersama nasi supaya ia terasa seperti berkuah dan mengenyangkan.

Sebagai anak kecil, beliau sering mempersoalkan keadaan itu, “Mak tak ada lauk ke”?

Kini dalam usia 46 tahun, memori itu masih segar dalam ingatan Encik Irwan.

Encik Irwan mengusahakan gerai dagingnya, Aulia Halal Meat dan Ewan Halal Market bersama isterinya yang ingin dikenali sebagai Cik Mas.

Pada usia tujuh tahun, Encik Irwan kehilangan bapanya.

Ibunya yang tidak pernah bekerja, terpaksa membesarkan dua beradik itu.

“Hari-hari memang makan nasi putih, ikan kering dan sambal belacan.

“Daging memang sesuatu yang mewah untuk kami,” imbaunya semasa diwawancara Berita Harian baru-baru ini di gerainya yang terletak di Pasar Cheng San, Ang Mo Kio

Ketika berusia 11 tahun, beliau mula menjadi sukarelawan ibadah korban, dengan membantu untuk menangkap kambing, membersihkan kawasan penyembelihan dan mengurus daging korban.

Di penghujung hari, para sukarelawan diberi sekitar satu hingga dua kilogram daging untuk dibawa pulang.

Bagi seorang anak kecil yang membesar dengan makanan sederhana, bungkusan daging terasa begitu berharga.

“Masa balik rumah, saya cakap dekat mak, ‘Mak, Wan bawak balik daging’.

“Sampai sekarang saya masih ingat perasaan itu kerana macam tidak percaya saya dapat bawa balik daging,” luahnya sambil menahan air mata.

Menurutnya, arwah ibunya akan memasak rendang atau kari daripada daging korban tersebut.

Walaupun hidup susah, ibunya tetap memilih untuk berkongsi rezeki yang sedikit itu dengan adik-beradiknya.

Lauk yang dimasak dengan daging korban masih terpahat kuat dalam memori Encik Irwan setibanya Hari Raya atau Hari Raya Haji.

“Pertama kali makan daging korban itu, rasanya memang lain,” katanya dengan suara yang tersekat-sekat sambil mengelap tangisannya.

“Saya macam cakap dalam hati, ‘Ya Allah ya Tuhanku, terima kasihlah kerana bagi daging ini’.

“Nikmat itu saya tidak boleh lupa sampai sekarang.”

Namun pada usia 13 tahun, Encik Irwan dihantar ke rumah tumpangan anak yatim demi pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.

Meninggalkan ibunya menjadi antara pengorbanan paling berat dalam hidupnya.

Setiap kali waktu makan di rumah tumpangan itu, fikirannya akan kembali kepada ibunya di rumah.

“Sedang saya menikmati makanan yang lebih sempurna, saya akan fikirkan apa yang ibu saya makan.

“Saya rasa serba salah,” tambahnya.

Di rumah anak yatim itu juga, setiap kali musim korban tiba, beliau membantu mengagihkan daging kepada golongan fakir dan miskin yang beratur panjang untuk mendapatkan sekilogram daging.

Sejak itu, Encik Irwan menanam azam untuk membuka gerai daging sendiri supaya lebih ramai keluarga dapat menikmati daging, tanpa perlu menunggu setahun sekali seperti dirinya dahulu.

Selepas pandemik Covid-19, Encik Irwan membuka gerai daging pertamanya di Kovan, sebelum berpindah ke Shunfu – di daerah Bishan – dan kini membuka cawangan keduanya di Ang Mo Kio.

“Niat saya buka gerai bukan nak jadi kaya. Saya cuma ingin semua orang dapat merasa makan daging.”

Menurutnya, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Melayu, malah pelanggan Cina dan India turut membeli daging di gerainya, termasuk untuk haiwan peliharaan mereka.

Walaupun perniagaannya semakin dikenali ramai, Encik Irwan berkata beliau tidak pernah melupakan asal usul kehidupannya dahulu.

Encik Irwan menambah bahawa arwah ibunya tidak sempat melihat sepenuhnya kejayaan gerainya kerana beliau jatuh sakit sebelum meninggal dunia pada 2024.

“Kadang-kadang saya rasa macam terlambat untuk Mak tengok gerai saya ini.

“Tapi yang belum terlambat ialah membuat amal dan infak kepada orang,” luahnya.

Disebabkan itu juga, apabila ada pelanggan warga emas datang meminta daging bernilai $5 atau $10, beliau tetap memberikan jumlah itu kepada mereka, malah lebih daripada itu.

“Ada mak cik datang cakap nak beli daging $5, saya tetap akan bagi lebih daripada setengah kilo.

“Kadang-kadang saya pulangkan balik duit dekat mak cik itu.”

Melalui siaran langsung TikTok yang dilakukannya pada 2022, Encik Irwan bersama pelanggan yang berinfak berjaya mengagihkan daging kepada ratusan keluarga termasuk anak yatim, ibu tunggal dan golongan memerlukan sempena Hari Raya Haji.

“Saya pernah rasa apa yang mereka rasa, dan saya tahu macam mana susahnya hidup apabila teringin makan daging tapi tidak mampu beli.”

Menurut beliau, arwah ibunya merupakan insan yang paling banyak membentuk dirinya menjadi manusia yang sentiasa mahu membantu orang lain.

“Semasa membesar, Mak tidak dapat menikmati semua makanan itu.

“Jadi bila saya dah besar, saya selalu tanya Mak nak makan apa.

“Bukan emas atau barang mahal yang beliau inginkan, tetapi Mak saya hanya suka makanan dan beliau sangat menghargainya,” ceritanya.

Walaupun arwah ibunya sudah tiada, pesanannya dipegang erat sehingga hari ini.

“Arwah Mak selalu pesan, jangan lupa orang susah.

“Kalau kita tolong orang, insya-Allah Allah akan tolong kita balik.”

Kini, setiap kali melihat pelanggan pulang membawa daging dari gerainya, Encik Irwan akan teringat kepada arwah ibunya yang suatu ketika dahulu hanya mampu mencampurkan air panas ke dalam nasi untuk dijadikan kuah.

“Saya berharap lebih ramai boleh menyokong perniagaan saya supaya saya dapat tolong golongan yang memerlukan di Singapura, Indonesia dan Kemboja,” katanya yang berniat untuk membuka lebih banyak cawangan.

Sempena Hari Raya Haji yang bakal menjelang, Encik Irwan menekankan kepentingan bersyukur.

“Kadang-kadang kita tidak tahu di Singapura ini masih ada orang yang susah.

“Ada yang dapat bantuan beras dan minyak, tetapi mereka sebenarnya teringin makan ikan atau daging,” katanya.

“Niat saya buka gerai bukan nak jadi kaya. Saya cuma ingin semua orang dapat merasa makan daging... Ada mak cik datang cakap nak beli daging $5, saya tetap akan bagi lebih daripada setengah kilo. Kadang-kadang saya pulangkan balik duit dekat mak cik itu.”
Encik Mohamed Irwan Masop.
Aulia Halal Meat
Alamat: 527 Ang Mo Kio Avenue 10, #01-55, Singapura 560527
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Jumaat, 7.30 pagi hingga 11.30 pagi

  • Sabtu dan Ahad, 7.30 pagi hingga 2 petang

Get therelocation-icon