Jenama nasi Padang terkenal dari Indonesia, Restoran Sederhana Masakan Padang, bakal membuka cawangan pertamanya di Singapura di bekas tapak Warong Nasi Pariaman di Kampong Glam dengan pelancaran awal dijadualkan bermula 29 Mei ini.

Bercakap kepada Berita Harian, pengasas bersama Restoran Sederhana Singapura, Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed, berkata perbincangan untuk membawa masuk jenama tersebut sudah bermula sejak Februari, tidak lama selepas berita penutupan Warong Nasi Pariaman diketahui umum.

“Selepas Pariaman tutup, kami rasa kami mahu membawa masuk jenama nasi Padang yang juga besar dan popular. Restoran Sederhana merupakan antara jenama nasi Padang terbesar di Indonesia.

“Kami tahu ia bukan mudah kerana kami mengambil alih tempat yang cukup ikonik. Kami terus bergerak pantas untuk merealisasikannya,” katanya.

Menurut beliau, restoran itu akan dikendalikan bersama ahli keluarganya yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak Restoran Sederhana di Indonesia.

Restoran Sederhana kini mempunyai lebih 200 cawangan di seluruh dunia dengan kebanyakannya beroperasi di Indonesia.

Jenama itu juga terus mengembangkan sayap antarabangsa termasuk pembukaan cawangan di Melbourne, Australia bulan ini, selain tiga cawangan sedia ada di Malaysia.

Encik Asyraf berkata pihaknya mahu memastikan cita rasa yang dibawa ke Singapura kekal asli seperti di Indonesia.

“Kami mahu rasanya seasli mungkin. Jadi semua rempah dan bahan utama dibawa masuk dari Indonesia. Kami mahu rasa nasi Padang yang sebenar dikekalkan di sini,” katanya.

Namun menurut beliau, cabaran terbesar ialah kos import bahan mentah yang tinggi.

“Semua rempah dan bahan-bahan diimport dan ia agak mahal. Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mengawal harga supaya pelanggan masih boleh menikmati hidangan ini pada harga berpatutan,” ujarnya.

Restoran dua tingkat itu mampu menempatkan sekitar 150 pelanggan.

Bagi memastikan mutu masakan terjaga, kakitangan mereka turut dihantar ke Indonesia untuk menjalani latihan memasak di cawangan asal Restoran Sederhana.

Antara sekitar 30 menu yang bakal diperkenalkan terlebih dahulu termasuk sate Padang, rendang, ayam pop dan ayam bakar.

Menariknya, mereka juga bakal menawarkan nasi lemak gaya Padang pada 4 petang, selepas nasi Padang habis dijual. Nasi lemak itu boleh dinikmati bersama ayam pop, rendang atau ayam bakar.

“Kami mahu pelanggan memilih lauk dahulu sebelum ia dihidangkan di meja kerana konsep hidang tradisional nasi Padang di Indonesia agak sukar dilaksanakan sepenuhnya disebabkan peraturan di sini,” katanya lagi.

Menurut Encik Asyraf, sambutan orang ramai sejak pengumuman dibuat di Instagram juga amat memberangsangkan.

“Mesej dan sambutan yang kami terima memang luar biasa. Ia satu perasaan yang sangat menggembirakan buat kami,” katanya.

Restoran Sederhana bakal memberikan 100 paket nasi Padang selepas solat Jumaat pada 29 Mei.

Restoran Sederhana Singapura
Alamat: 738 North Bridge Road, Singapura 198706
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 6.30 pagi hingga 8 malam

Get therelocation-icon