Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga jenama F&B Muslim tampil sajian menarik di Boutiques Singapore
Tiga jenama F&B Muslim tampil sajian menarik di Boutiques Singapore
Daripada burger ayam tanduri berempah, rosti rangup hingga pastri manis berinti coklat, tiga jenama makanan dan minuman (F&B) milik Muslim menawarkan pelbagai sajian menarik di acara beli-belah, Boutiques Singapore: The Gifting Edition 2026.
Berlangsung dari 20 hingga 22 November di F1 Pit Building, acara itu menghimpunkan lebih 300 jenama, termasuk 90 jenama antarabangsa baharu, jumlah tertinggi yang pernah menyertainya.
Diasaskan pada 2002 oleh Cik Charlotte Cain, Boutiques Singapore bertujuan menyediakan wadah bagi perniagaan kecil dan pereka bebas memperkenalkan produk mereka secara langsung kepada pelanggan.
Antara jenama F&B milik Muslim yang mengambil bahagian ialah Mahmud’s Tandoor, Rostii dan Boms & Buns, yang mengetengahkan hidangan istimewa masing-masing.
Mahmud’s Tandoor (Garage L1)
Terkenal dengan burger ayam tanduri, Mahmud’s Tandoor menawarkan dua pilihan utama – OG Baked Tandoori Burger dengan ayam panggang dan Crispydoori Burger yang menggunakan ayam goreng rangup.
Ayamnya diperap menggunakan15 jenis rempah ratus, manakala kentang gorengnya mengambil inspirasi daripada rempah masala India.
Sempena musim pemberian hadiah, jenama itu turut menawarkan Mini Trio Saucey Giftbox, $29.50, mengandungi tiga sos buatan sendiri dalam botol 120 gram.
Antaranya Harissa Mayo yang sedikit masam, Mango Chilli yang menggabungkan kemanisan mangga dengan kepedasan cili padi merah, serta Dragon Dip, diinspirasikan daripada sos cili nasi ayam dengan rasa pedas dan berperisa umami (gabungan rasa masin, manis dan pahit).
Rostii (Garage L1)
Bagi penggemar sajian Barat, jenama tempatan Rostii, yang diasaskan Encik Isrudy Idris, yang juga pemilik Asap & Co, mengetengahkan rosti, iaitu lempeng kentang Switzerland yang rangup di luar tetapi lembut di dalam.
Antara pilihannya ialah Smoked Salmon Rostii, yang menggabungkan rasa masin salmon salai dengan kesegaran krim masam, menghasilkan keseimbangan rasa yang tidak terlalu berat.
Sajian itu turut menyerlahkan tekstur kentang berwarna keemasan yang garing di luar, namun kekal lembut dan empuk apabila dinikmati.
Boms & Buns (3A)
Bagi penggemar pencuci mulut pula, Boms & Buns, perniagaan yang diusahakan pasangan selebriti tempatan Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Malaque Mahdalay menawarkan pelbagai pastri manis.
Antaranya Sticky Date Toffee, yang menggunakan kek kurma Medjool bersama krim toffee (gabungan gula dan mentega) dan serbuk coklat, menghasilkan rasa manis berkaramel.
Rocher, pula menampilkan inti coklat dan kacang hazel yang lembut, dengan bahagian tengah praline (gabungan kacang dan gula) serta salutan coklat badam yang memberikan tekstur rangup.
Boms & Buns merupakan perniagaan pencuci mulut kedua Syarif dan Malaque setelah membuka jenama Chulop! yang terletak di Haji Lane.
Tiket masuk bagi Boutiques Singapore berharga $8 pada Jumaat dan $10 pada Sabtu serta Ahad, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun masuk secara percuma.
Boutiques Singapore
Alamat: F1 Pit Building, 1 Republic Boulevard, Singapura 038975Jumaat dan Sabtu, 11 pagi hingga 9 malam dan Ahad, 10 pagi hingga 6 petang