Topic followed successfully
Go to BHkuSuasana restoran warga S’pura di Jakarta ‘bagai makan di rumah nenek’
Suasana restoran warga S’pura di Jakarta ‘bagai makan di rumah nenek’
Hidupkan nostalgia melalui hidangan Nusantara autentik, layanan mesra
Suasana restoran warga S’pura di Jakarta ‘bagai makan di rumah nenek’
Layanannya begitu hangat.
“Selamat datang ke Uma Oma, cucu kesayangan...”
Itulah yang diucapkan seorang pelayan berusia 50-an tahun, sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke restoran Uma Oma Heritage di Menteng, Jakarta.
Pengunjung terasa seolah-olah seperti pulang ke rumah nenek sendiri.
Apatah lagi suasana rumah kolonial lama yang diubah menjadi restoran itu dipenuhi aroma Nusantara dan senyuman daripada pekerja wanita berusia digelar ‘Oma’ yang menyambut setiap tetamu seperti keluarga.
Di sini, pelanggan bukan sekadar tetamu.
Mereka digalakkan memanggil pelayan sebagai ‘Oma’ ketika membuat pesanan makanan.
Ini mewujudkan rasa kemesraan yang jarang dirasai di restoran moden hari ini.
Saat memesan hidangan seperti Itiak Lado Mudo, Nasi Rawon Oma dan Empal Gentong, interaksi bersama para Oma terasa begitu ikhlas sehingga pengalaman makan itu menjadi lebih daripada sekadar menikmati makanan.
Di balik konsep unik restoran itu ialah pemilik warga Singapura, Encik Firhan Salam, yang pernah berkhidmat selama 16 tahun bersama Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia korporat dan membina sesuatu yang lebih dekat di hati.
Sepanjang bersama STB, beliau memegang pelbagai peranan penting termasuk dalam pembangunan perniagaan, pemasaran dan kerjasama strategik di Indonesia serta Timur Tengah.
“Selama bertahun-tahun saya bekerja dalam pemasaran dan pelancongan, saya belajar bahawa orang ramai bukan hanya tertarik kepada produk, malah kepada cerita dan hubungan emosi yang dibina,” katanya.
Menurut Encik Firhan, pengalaman tinggal di luar negara membuatkannya lebih menghargai budaya tempatan, khususnya bagaimana makanan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan antara satu sama lain.
“Sewaktu tinggal di Jakarta, saya lihat ramai sebenarnya perantau dan rindu suasana rumah.
“Mereka mahu rasa disambut, dihargai dan diperhatikan. Dari situlah idea Uma Oma lahir,” katanya.
Beliau berkata konsep Uma Oma bukan sekadar tentang makanan Nusantara autentik, tetapi bagaimana pengalaman makan itu mampu menimbulkan kehangatan umpama pulang ke rumah nenek sendiri.
“Pelanggan datang ke restoran bukan hanya untuk makan. Mereka juga mencari rasa dihargai dan layanan yang ikhlas,” ujarnya.
Semasa diwawancara Kaki Makan, Encik Firhan turut menekankan bahawa warga emas di Uma Oma bukan sekadar sebahagian daripada konsep restoran, sebaliknya menjadi ‘jantung’ kepada keseluruhan jenama tersebut.
Ketika Uma Oma Cafe pertama kali dibuka di Blok M pada September 2023, sambutan terhadap peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada warga emas amat luar biasa.
“Ada yang datang membawa resume yang ditaip menggunakan mesin taip lama, ada juga yang tulis tangan kerana tidak biasa menggunakan komputer ataupun tulis di kertas.
“Mereka datang dengan harapan untuk terus aktif dan menyumbang,” katanya.
Menurut Encik Firhan, ramai dalam kalangan warga emas itu tidak mempunyai pengalaman dalam bidang hospitaliti.
Namun, beliau dan pasukannya percaya mereka hanya memerlukan peluang dan latihan yang sesuai.
“Hari ini mereka sudah boleh menggunakan iPad untuk mengambil pesanan pelanggan, mengurus sistem tempahan dan berinteraksi dengan tetamu dengan penuh yakin.
“Itu sesuatu yang sangat mengharukan untuk kami lihat,” katanya.
Menurutnya, perubahan paling besar bukan hanya dari sudut kemahiran, tetapi keyakinan diri para Oma yang semakin terserlah setiap hari.
“Sekarang mereka lebih yakin menyapa pelanggan, bergambar bersama tetamu dan berbual mesra seperti keluarga sendiri.
“Mereka rasa dihargai semula,” katanya.
Salah seorang pekerja, Oma Lauren, 58 tahun, berkata peluang bekerja di Uma Oma memberinya semangat baru selepas bertahun-tahun meninggalkan dunia pekerjaan.
“Di sini kami bukan hanya bekerja, bahkan terus belajar dan berkembang. Kami rasa dihargai dan diberi peluang untuk terus menyumbang,” kata Oma Lauren.
Bagi menghidupkan lagi pengalaman ‘rumah nenek’, Uma Oma Heritage turut menampilkan konsep Dapur Oma, di mana seorang Oma menyediakan kuih tradisional secara langsung di hadapan pelanggan dan pelanggan boleh ke meja tersebut untuk mencuba kuih sambil mendengar cerita tentang asal usul hidangan itu.
Encik Firhan berkata ciri interaktif itu diwujudkan supaya pengalaman makan di Uma Oma tidak terasa seperti hubungan biasa antara pelanggan dengan restoran.
“Kami mahu pengalaman itu terasa lebih manusiawi.
“Apabila pelanggan pulang, mereka bukan hanya ingat makanannya, malah bagaimana mereka dilayan seperti keluarga,” katanya.
Menurut beliau, memanggil pelanggan sebagai “cucu kesayangan” juga dilakukan secara sengaja bagi mewujudkan rasa kedekatan antara pelanggan dengan para Oma.
“Kami juga galakkan pelanggan memanggil pelayan kami sebagai Oma.
“Pada tanda nama mereka ada gelaran Oma bersama nama masing-masing.
“Apabila itu berlaku, hubungan yang terjalin terasa lebih akrab dan peribadi,” katanya.
Dalam landskap industri makanan dan minuman Jakarta yang kian berdaya saing, Uma Oma berbeza bukan hanya kerana makanannya, malah, keberaniannya mengangkat golongan warga emas ke ruang yang sering dianggap milik generasi muda.
Kini, Uma Oma Group turut meneroka kerjasama bersama Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia selepas konsep itu dilihat sebagai model perniagaan yang berjaya memperkasa warga emas dalam sektor hospitaliti.
“Mereka melihat Uma Oma sebagai contoh bahawa warga emas masih boleh bekerja dan menyumbang jika diberi peluang dan latihan yang secukupnya,” jelas Encik Firhan.
Beliau percaya konsep seperti Uma Oma juga berpotensi diperkenalkan di Singapura memandangkan populasi menua merupakan cabaran yang dihadapi banyak negara di Asia.
“Yang paling membuat kami terharu adalah apabila para Oma rasa mereka masih diperlukan, masih mampu belajar benda baru dan masih ada tempat dalam masyarakat,” katanya.
Harga:
- Hidangan Itiak Lado Mudo, itik dengan sambal hijau khas Minangkabau, dijual pada harga 165,000 rupiah (sekitar $13.50) bagi separuh ekor
- Nasi Rawon Oma pula berharga 155,000 rupiah (sekitar $12.70)
- Empal Gentong yang menggunakan daging wagyu dimasak bersama santan dan rempah dijual pada harga 165,000 rupiah (sekitar $13.50)
- Es Pisang Ijo pada harga 70,000 rupiah (sekitar $5.70)
- Poffertjes, kuih mini Belanda berharga 65,000 rupiah (sekitar $5.30)
Uma Oma Heritage
Alamat: Jl. Prof. Moh. Yamin No.40, RT.4/RW.5, Menteng, Kec. Menteng, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10310, IndonesiaIsnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 10 malam

