Kembara
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran Harry Potter ke Macau pada Disember

Jun 18, 2023 | 5:30 AM
PAMERAN HARRY POTTER: Peminat siri filem popular Harry Potter berpeluang menjengah alam magis filem itu dalam pameran di The Londoner Macau pada Disember.
PAMERAN HARRY POTTER: Peminat siri filem popular Harry Potter berpeluang menjengah alam magis filem itu dalam pameran di The Londoner Macau pada Disember. - Foto WARNER BROS

Para peminat siri filem Harry Potter berpeluang melihat magis di Macau menerusi pameran pertamanya di Asia, Harry Potter: The Exhibition di The Londoner Macau Disember ini.

Pameran itu menjanjikan reka bentuk terperinci dan teknologi inovatif yang membolehkan pengunjung mengalami penceritaan interaktif.

Anda boleh memulakan perjalanan pameran Harry Potter peribadi anda sendiri dengan memilih pasukan sekolah sihir Hogwarts dan tongkat sakti kegemaran.

Pengunjung juga boleh mencuba sukan fantasi Quidditch yang dimain ahli sihir, tanpa penerbangan. Anda boleh mencuba mencampakkan quaffle, objek berbentuk sfera, sama seperti dalam filem.

Bagi peminat siri filem Harry Potter, pengalaman ini merangkumi maklumat lebih terperinci mengenai penggambaran di sebalik tabir adegan filem tersebut.

Antara lain, pengunjung juga dapat mencuba membuat posyen, menanam pokok ‘Mandrake’, pokok ajaib yang mengeluarkan nada tinggi apabila diangkat dari tanah, dan cara mendapatkan markah untuk pasukan sekolah yang dipilih pada awal pameran.

Sejauh ini, tarikh jualan rasmi bagi tiket atau tarikh permulaan pameran belum diumumkan.

Laman web The Londoner Macau hanya mengundang peminat untuk menyertai senarai menunggu untuk mendapatkan akses awal kepada tiket.

Pengunjung mungkin perlu meluangkan masa sekitar 90 minit bagi mendapatkan pengalaman menyeluruh. Selain itu, terdapat juga barangan dagangan eksklusif Harry Potter yang dijual.

Di samping senarai kegiatan yang boleh dilakukan, pameran itu juga menawarkan galeri yang mengetengahkan edisi pertama buku Harry Potter and the Philosopher’s Stone – buku pertama dalam siri buku ikonik tersebut.

Sementara itu, galeri Istana Hogwarts, sekolah sihir, mempunyai beberapa pengalaman pelbagai media yang memaparkan beberapa ciri ikonik sekolah itu seperti pohon Whomping Willow, pengawal Dementor dan peta Marauder.

Dewan perhimpunan di sekolah itu yang juga dinamakan ‘Great Hall’ juga adalah antara galeri yang membolehkan pengunjung menyingkap kembali saat-saat ajaib dalam filem tersebut.

Bilik darjah di Hogwarts juga akan menyediakan prop dan kostum yang dikagumi penonton.

Pameran itu bermula pada Februari 2022 dan kini dipamerkan di Paris dan New York. Ia kemudian akan menuju ke Macau pada Disember 2023.

Kunjungi laman rasmi pameran, harrypotterexhibition.com untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg