PUTRAJAYA: Analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan RM1,664 ($511) atau kurang setiap bulan.
Sementara itu, pekerja formal dalam persentil ke-90 pula menerima sekurang-kurangnya RM9,200 setiap bulan.
Demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perbezaan itu menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang antara mereka yang berpendapatan tertinggi dengan terendah.
Tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional RM2,864 dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada pada kedudukan bulanan tertinggi pada RM4,064, diikuti Selangor RM3,145 dan Pulau Pinang RM2,927.
Sementara itu, median upah bulanan terendah dicatat di Kelantan iaitu RM1,764, diikuti Perlis RM1,800, serta Sabah dan Kedah iaitu RM2,000.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata median upah bulanan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi semua negeri pada suku kedua 2025.
Menurutnya, pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada suku kedua 2025, disokong oleh peningkatan berterusan penduduk bekerja.
“Statistik ini adalah berasaskan sumber data pentadbiran daripada agensi yang berkaitan, memberi tumpuan kepada warga yang bekerja di sektor formal, khususnya di sektor swasta.
“DOSM akan terus memperkukuh penyebaran statistik upah pekerja dengan mengintegrasikan pelbagai data pentadbiran untuk pengeluaran statistik yang lebih terperinci bagi pemahaman yang lebih mendalam tentang pasaran buruh negara,” katanya dalam Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Kedua 2025 yang dikeluarkan pada 27 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut laporan terkini DOSM, bilangan pekerja formal warganegara juga terus menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, mencatat pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang pada Jun 2025.
Sementara itu, median upah bulanan terus mencatat kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 peratus, 5.4 peratus dan 4.3 peratus pada April, Mei dan Jun 2025.
Dari segi perbandingan mengikut jantina, pekerja formal lelaki menyumbang 55.1 peratus (3.84 juta orang) daripada jumlah pekerja formal pada Jun 2025, menerima RM100 lebih daripada perempuan bagi median upah bulanan.
Median upah bulanan pekerja formal lelaki adalah RM2,900 manakala pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.9 peratus (3.13 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan RM2,800.
Melihat kepada perincian perangkaan upah mengikut kumpulan umur menunjukkan bahawa semua kumpulan umur mencatat kenaikan tahun ke tahun yang tekal untuk median upah bulanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg