Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 5.1 peratus pada 2024, dipacu oleh peningkatan dalam semua sektor ekonomi utama serta prestasi cemerlang beberapa negeri strategik seperti Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kesemua negeri merekodkan pertumbuhan positif dengan lima daripadanya mencatat kadar melebihi purata nasional iaitu Johor (6.4 peratus); Selangor (6.3 peratus); Kuala Lumpur (6.2 peratus); Pahang (5.7 peratus); dan Labuan (5.4 peratus).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata Johor muncul sebagai negeri paling pesat berkembang mencatat Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak RM158 bilion ($48 bilion).
“Prestasi ini dipacu kedudukan strategiknya di selatan tanah air serta lonjakan pelaburan dalam sektor pusat data, yang menggerakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan (6 peratus), pembinaan (42.7 peratus) dan pembuatan (4.2 peratus).
“Subsektor seperti kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan berkembang 8.7 peratus, manakala sektor pertanian turut pulih dengan pertumbuhan 4.2 peratus hasil peningkatan pengeluaran kelapa sawit.
“Ini menjadikan Johor penyumbang utama kepada GDP pertanian negara sebanyak 17.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Julai.
Selangor pula terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi nasional dengan GDP bernilai RM432.1 bilion, menyumbang 26.2 peratus kepada keseluruhan negara.
“Pertumbuhan 6.3 peratus di Selangor dipacu sektor perkhidmatan (6.3 peratus) dan pembuatan (5.1 peratus), termasuk subsektor utama seperti produk elektronik dan optikal serta logam dan mineral bukan logam,” katanya.
Kuala Lumpur mengekalkan peranannya sebagai hab pentadbiran dan kewangan negara dengan GDP berjumlah RM265.8 bilion.
Pertumbuhan 6.2 peratus dicatat hasil pengukuhan sektor perkhidmatan, khususnya subsektor perdagangan runcit, kewangan dan penginapan.
Pahang pula mencatat pertumbuhan keempat tertinggi (5.7 peratus), disokong sektor pertanian yang melonjak 8.4 peratus dan sektor perkhidmatan sebanyak 4.9 peratus.
Sementara itu, Labuan mencatat pertumbuhan 5.4 peratus, diterajui perkhidmatan kewangan dan perniagaan.
Pulau Pinang terus mengekalkan daya saing sebagai hab elektronik dengan pertumbuhan 4.8 peratus, manakala negeri seperti Perak, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan menunjukkan pertumbuhan antara 4.4 dengan 4.6 peratus, hasil gabungan sektor perkhidmatan, pengilangan dan pembinaan.
Sarawak menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 3.9 peratus, didorong peningkatan dalam sektor perlombongan, perkhidmatan dan pengilangan.
Namun, Sabah merekodkan pertumbuhan sederhana 1.1 peratus berikutan penyusutan dalam sektor pertanian dan perlombongan, meskipun sektor pembinaan mencatat lonjakan sebanyak 18.8 peratus.
“Secara keseluruhan, GDP Malaysia meningkat RM1.65 trilion pada 2024 berbanding RM1.57 trilion pada 2023.
“Nilai GDP per kapita nasional turut meningkat kepada RM56,734. Kuala Lumpur (RM136,365); Labuan (RM87,003); Pulau Pinang (RM76,033); Sarawak (RM73,426); dan Selangor (RM65,907) kekal mendahului paras nasional,” tambahnya.
Berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April 2025 serta prestasi GDP suku pertama 2025 yang mencatat pertumbuhan 4.4 peratus, ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan meskipun berdepan cabaran sejaga seperti ketidaktentuan geopolitik dan dasar kewangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg