Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 syarikat penipuan dimasukkan dalam pangkalan data polis untuk disiasat

Jan 6, 2026 | 2:31 PM
pangkalan, tipu, polis Malaysia
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa. - Foto FACEBOOK JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIAL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 syarikat yang dikesan terbabit dalam kegiatan penipuan membabitkan 109 laporan polis, telah dimasukkan ke dalam pangkalan data Semakmule Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam tempoh sebulan sehingga 31 Disember lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata masing-masing sebanyak 19 laporan polis diterima ke atas syarikat CVC Grow Star Sdn Bhd dan CVC Group Sdn Bhd.

Menurutnya, selain itu 16 laporan polis pula masing-masing ke atas syarikat JMC M Trading Venture dan JMC Asia Top Solution.

“KGI HK Sdn Bhd juga 16 laporan polis diterima, Greenvale Trading Sdn Bhd (14), Titan Union Trading Sdn Bhd (14), Brightglobal Sdn Bhd (11), RXM Iglobal Solution (10) dan Apek Express Servicess (M) Sdn Bhd (9).

“Jangan tertipu dengan tawaran ‘kerja mudah’ mendaftar syarikat/ perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membuka akaun bank untuk pihak ketiga. Scammer menggunakan nama anda sebagai pelindung untuk aktiviti haram mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Januari.

Beliau berkata sindiket dipercayai memilih menggunakan akaun syarikat atau perniagaan kerana membolehkan aliran keluar masuk wang ratusan ribu ringgit sehari tanpa dapat dikesan secepat akaun peribadi.

“Selain itu, mangsa lebih mudah percaya untuk memasukkan wang ke dalam akaun atas nama ‘Syarikat ABC’ berbanding akaun bank milik individu.

“Malah scammer kekal bersembunyi di sebalik identiti mangsa yang didaftarkan secara sah di SSM,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau meminta orang ramai menyemak di portal Semakmule JSJK dengan memasukkan nama syarikat atau nombor akaun bank meragukan, dan amaran akan dikeluarkan jika carian menunjukkan syarikat terbabit penipuan.

Portal Semakmule dapat membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon serta syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.

Terdahulu, JSJK Bukit Aman dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai agar tidak terperangkap dengan taktik terbaru sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan modus operandi memperdaya individu untuk mendaftarkan syarikat atau perniagaan di SSM sebelum membuka akaun bank bagi pihak ketiga.

Sindiket berkenaan lazimnya menawarkan ‘kerja mudah’ dengan ganjaran lumayan, kononnya sekadar meminjam nama untuk tujuan pendaftaran syarikat atau pembukaan akaun bank.

Hakikatnya, akaun syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa digunakan sebagai saluran menerima dan memindahkan wang hasil penipuan, sekali gus menjadikan individu terbabit sebagai keldai akaun tanpa disedari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg