JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sekumpulan warga asing yang menjalankan operasi ‘panggilan penipuan’ di kondominium mewah di Johor Bahru.
Dalam tangkapan terkini, empat warga China ditahan dalam serbuan yang dilakukan di Iskandar Puteri, Johor Bahru, beberapa hari lalu.
Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) menyerbu unit kondominium tersebut dan menahan empat individu berusia antara 32 dengan 35 tahun.
Pegawai itu berkata tiada seorang pun daripada suspek yang ditahan memiliki pasport.
“Pelbagai barangan dirampas dalam serbuan itu, termasuk telefon bimbit dan komputer riba yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka,” kata pegawai itu, sambil menyatakan semua suspek disiasat atas dakwaan menipu,” lapor The Star.
Pegawai itu memaklumkan kumpulan penjenayah terbabit menyamar sebagai wakil khidmat pelanggan dan kakitangan logistik, sebelum menjerat mangsanya terutama pesara di China dengan janji pulangan lumayan dalam mata wang kripto.
Beberapa minggu lalu, PDRM turut menyerbu dua kondominium mewah di Johor Bahru dan menahan 10 warga asing, terdiri daripada lima warga China, tiga Myanmar, dan dua Indonesia, kesemuanya lelaki berumur 20-an dan 30-an tahun.
Semua suspek direkrut melalui media sosial dan dijanjikan gaji serta komisen lumayan, dengan setiap penipuan yang berjaya boleh memberi keuntungan sehingga RM10,000 ($3,149).
Sementara itu, wang simpanan milik seorang wanita hampir RM600,000 lesap dalam skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan sehingga 30 peratus sebulan.
Pegawai itu berkata mangsa, berumur 55 tahun, pertama kali didekati pada September lalu oleh seseorang di media sosial yang menawarkan cara menjana pulangan antara 20 peratus dengan 30 peratus setiap bulan.
“Wanita itu pada mulanya tidak yakin, tetapi memutuskan untuk memuat turun aplikasi dan mencubanya,” kata pegawai itu sambil menambah bahawa pada awalnya beliau berjaya memperoleh pulangan beberapa ribu ringgit.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas tidak dapat mengakses akaun bank miliknya,” tambah pegawai itu.
Mangsa penipuan seumpamanya dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan di talian 997 untuk membuat laporan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan CCID di 03-2610-1599, atau membuat semakan melalui Semak Mule atau Facebook (@jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg