KUALA LUMPUR: Hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn Bhd, yang merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, akan diletakkan dalam Program Cuti Berbayar.

Ia sebagai langkah rasionalisasi oleh Media Mulia yang sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat itu bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Encik Abd Wahid Idris, menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil menyusuli perubahan landskap industri media yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital.

Pada masa yang sama, beliau berkata syarikat itu tetap komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak untuk pembaca setia.

“Program ini bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia dan keupayaan syarikat untuk memberi penekanan kepada kandungan digital, platform penyampaian berita lebih bermutu dan berkesan, serta kemampanan perniagaan syarikat untuk masa depan.

“Media Mulia ingin menegaskan bahawa langkah rasionalisasi ini akan terus mengekalkan identiti dan legasi jenama Utusan Malaysia serta Kosmo!.

“Keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan dan kebolehpercayaan kedua-dua jenama ini akan terus dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Utusan Malaysia adalah antara surat khabar bahasa Melayu tertua di Malaysia, manakala Kosmo! adalah akhbar versi tabloid.

Encik Abd Wahid berkata pengurusan sedia ada telah menyelamatkan kedua-dua jenama itu setelah pemilik terdahulu menamatkan operasi pada 2019.

Justeru, penyesuaian strategik adalah perlu demi memastikan kelangsungan kedua-dua jenama dan organisasi itu supaya tidak berulang nasib sama seperti sebelumnya.

Beliau menekankan bahawa syarikat itu tetap komited menjaga kebajikan dan hak kakitangannya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Langkah transformasi ini perlu dilaksanakan bagi menjamin masa depan jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!.

“Fokus akan terus diberikan dalam menghasilkan kandungan editorial yang lebih bermutu, berwibawa dan dipercayai,” katanya.

Sebelum ini pada 2018, Kumpulan Utusan Melayu yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! telah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), berikutan kemelut kewangan yang kritikal.

Syarikat berkenaan mengalami kemerosotan jualan akhbar cetak dan kejatuhan pendapatan iklan digital yang drastik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, pada 2019, ratusan pekerja dan bekas pekerja yang mengambil VSS telah mengadakan piket di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur, bagi mendesak majikan mereka membayar gaji dan pampasan yang tertunggak.

Pada 30 Ogos 2019, Kumpulan Utusan secara rasmi dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, selepas gagal menemui jalan keluar.

Ia menyebabkan ratusan pekerja kehilangan pekerjaan, sebelum Utusan Malaysia dan Kosmo! kembali beroperasi sejak Julai 2020 di bawah pengurusan baharu – Media Mulia Sdn Bhd.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti