Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10,000 botol air mineral disalurkan bagi bantu pelajar UTM terjejas gangguan air

Nov 5, 2025 | 12:58 PM
botol, air, UTM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, membantu mengagihkan botol air mineral kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

JOHOR BAHRU: Sebanyak 10,000 botol air mineral serta dua lori tangki air bersih disalurkan bagi memastikan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus terjaga susulan gangguan bekalan air yang berlaku pada 31 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata bantuan itu merupakan hasil kerjasama segera antara kerajaan negeri, pemaju hartanah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu tanpa menunggu arahan rasmi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemaju dan NGO yang tampil segera menghantar bekalan air bersih kepada mahasiswi UTM yang terjejas.

“Usaha pantas ini membuktikan semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebajikan generasi masa depan Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 November.

Menurutnya, inisiatif itu juga mencerminkan nilai ihsan serta semangat Maju Johor yang menekankan tindakan segera dalam menangani isu rakyat di mana sahaja mereka berada.

“Misi bantuan ini jelas menggambarkan bahawa dalam menghadapi sebarang cabaran, anak-anak Johor tidak pernah dibiarkan sendirian,” katanya.

Datuk Mohd Jafni turut menyantuni mahasiswa anak Johor dalam Program Bantuan One-Off Mahasiswa Anak Johor yang diadakan di Dewan Sri Perdana, UTM.

Beliau berkata program itu merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan setiap anak Johor mendapat sokongan sewajarnya untuk meneruskan pengajian tinggi tanpa dibebani kekangan kewangan.

“Sebanyak 8,888 mahasiswa menerima bantuan bernilai RM1,777,600 ($553,936) bagi membantu menampung keperluan kehidupan kampus. Bantuan ini menjadi suntikan moral dan kelegaan kewangan agar pelajar terus fokus dalam menuntut ilmu,” katanya.

Datuk Mohd Jafni turut menghargai kerjasama Universiti Teknologi Malaysia dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang membuka kaunter bantuan sejak 3 petang bagi memastikan pengagihan dibuat secara tersusun dan cepat.

Katanya dalam kepesatan pembangunan negeri hari ini, pendidikan tetap menjadi tiang seri kemajuan Johor.

“Johor bukan hanya membangunkan ekonomi dan infrastruktur fizikal, tetapi turut menumpukan kepada pembinaan modal insan yang berpengetahuan, berdaya saing dan berkarakter kepimpinan masa depan.

“Kerajaan negeri sentiasa menegaskan bahawa tiada anak Johor harus tercicir daripada peluang menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan Johor berjalan seiring dengan usaha memperkasa pendidikan dan kebajikan generasi muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg