Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi S’pura pantau kualiti air di Johor susuli dua insiden pencemaran 

Nov 1, 2025 | 1:56 PM
bekalan air, Timur Selat Johor, pencemaran 
Penduduk Johor melahirkan kebimbangan selepas ratusan ikan ditemui mati akibat air sungai berlumpur. - Foto BERNAMA

Pihak berkuasa Singapura sedang memantau keadaan air di Johor berikutan dua insiden pencemaran.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dalam catatan Facebook pada 1 November, berkata bahawa satu insiden menjejas Sungai Johor dan berpunca daripada aktiviti melombong pasir, manakala yang kedua melibatkan tumpahan minyak sawit yang menjejas perairan pantai Kampung Pasir Putih.

Ia menambah bahawa pihaknya sedang berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar di Johor dan memahami bahawa punca pencemaran daripada kedua-dua kejadian telah dibendung dan ditangani.

“Pembersihan minyak juga sedang dijalankan dan kebanyakan minyak sawit telah dibersihkan,” tambahnya.

Ia berkata kualiti air di Singapura adalah normal, dan garis pantai serta ladang ikan tempatan tidak terjejas setakat ini.

“Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang bekerjasama rapat dengan ladang ikan di Timur Selat Johor untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu,” kata NEA.

Ia menambah bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) tidak melihat sebarang kesan ke atas tapak yang kaya dengan biodiversiti di Pulau Ubin, Taman Pulau Coney, Taman Pasir Ris atau Taman Pantai Changi.

Sementara itu, operasi di Loji Air Sungai Johor (JRWW) PUB telah digantung buat sementara waktu, kata agensi air negara itu pada 1 November.

Menjawab pertanyaan media, agensi itu berkata ia sedar tentang kejadian pencemaran air yang menjejas Sungai Johor.

Namun, PUB menegaskan bekalan air di Singapura kekal tidak terjejas kerana ia telah mempertingkatkan pengeluaran di loji tempatan bagi memenuhi permintaan, lapor The Straits Times (ST).

“PUB sedang memantau mutu air mentah di Sungai Johor dengan teliti,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa penggantungan operasi itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga. 

“Operasi akan disambung semula apabila pemeriksaan menunjukkan mutu air Sungai Johor kembali normal.”

Sementara itu, NEA juga berkata bot ronda Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) yang dilengkapi dengan bahan penyerap dan peralatan menarik keluar minyak bersiap sedia untuk dikerah, sekiranya perlu.

Jabatan Alam Sekitar Malaysia mengesahkan pada 31 Oktober tentang kerosakan pada “kolam takungan sedimen” yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu sungai, lapor Bernama.

Menurut laporan tersebut, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) telah mengarahkan penghentian segera terhadap operasi perlombongan pasir tersebut.

Namun, beliau menambah lumpur yang mengalir keluar tidak dapat dibendung dan terus mengalir ke dalam sungai.

Penduduk yang ditemu bual oleh Bernama melahirkan kebimbangan selepas ratusan ikan ditemui mati akibat air berlumpur di sungai itu.

Menurut laporan Bernama, kekeruhan tersebut dipercayai berpunca daripada kolam takungan lumpur yang pecah milik sebuah syarikat perlombongan pasir.

Penduduk telah membuat laporan polis berikutan kejadian tersebut.

Singapura dibenarkan untuk mengambil sehingga 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor di bawah Perjanjian Air 1962, yang akan tamat pada 2061.

Sebagai balasan, Singapura perlu membekalkan Johor dengan air terawat, iaitu sehingga 2 peratus daripada jumlah air yang diimport Republik itu.

Kolam Air Linggiu, yang dibina oleh PUB dan terletak di hulu Loji Rawatan Air Sungai Johor, menyalurkan air ke sungai bagi menambah alirannya.

“Ini membolehkan pengambilan air mentah yang boleh dipercayai di Loji Rawatan Air Sungai Johor yang dimiliki dan dioperasikan oleh PUB untuk tujuan rawatan,” menurut laman web PUB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg