Topik diikuti
Pergi ke BHku116 mangsa pindah ke pusat sementara susulan banjir di Muar
116 mangsa pindah ke pusat sementara susulan banjir di Muar
116 mangsa pindah ke pusat sementara susulan banjir di Muar
MUAR: Seramai 116 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Muar, Johor, susulan banjir yang melanda beberapa kawasan, dengan kerajaan Johor memberi jaminan bantuan akan terus disalurkan sehingga keadaan kembali pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata sehingga 11 malam 26 Julai, mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bulat dan PPS SK Orang Kaya Ali.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan sedia dimakan, kit kebersihan, kelengkapan tidur, lampin pakai buang dewasa serta bantuan tunai bagi meringankan beban mangsa.
“Dalam setiap musibah, keutamaan kita adalah memastikan tiada rakyat yang berasa terpinggir dan setiap keluarga yang terjejas mendapat perhatian serta bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Julai.
Beliau berkata demikian selepas melawat kedua-dua PPS bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Menurut beliau, semangat kerjasama yang ditunjukkan anggota keselamatan, petugas pelbagai agensi kerajaan, sukarelawan dan masyarakat setempat menjadi faktor penting dalam memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas komitmen berterusan memastikan setiap agensi kerajaan bergerak pantas, tersusun dan bersepadu bagi membantu rakyat yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan banjir bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan dan sokongan yang diperlukan sehingga keadaan kembali pulih.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan, berkata beliau telah meninjau keadaan mangsa di PPS SK Parit Bulat Darat bagi memastikan pengurusan pusat pemindahan berjalan lancar.
Katanya, beliau turut diberikan taklimat mengenai situasi semasa, proses pendaftaran mangsa serta penyelarasan bantuan yang sedang dilaksanakan.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa direkodkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran, Pusat Kawalan Operasi Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela, sukarelawan serta semua agensi yang terlibat dalam operasi pengurusan banjir.
Cik Hasrunizah serta Encik Md Israk, bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor merangkap Adun Serom, Cik Nadhirah Afiqah Abdull Rahim; dan Adun Sungai Balang, Encik Selamat Takim, turut melawat PPS SK Orang Kaya Ali yang baru diaktifkan, susulan peningkatan jumlah mangsa banjir.
Beliau berkata setakat lawatan itu, seramai enam keluarga ditempatkan di PPS berkenaan dan semua kemudahan serta keperluan asas telah disediakan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.
“Terima kasih kepada semua petugas dan agensi yang terus komited menguruskan PPS serta menjaga kebajikan mangsa banjir.
“Semoga segala urusan dipermudahkan dan semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.