Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak memberi perhatian kepada isu banjir, perubahan iklim dan alam sekitar, walaupun masalah itu semakin membelenggu rakyat negeri ini.

Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Cik Rashifa Aljunied, berkata Kontrak Muda Johor yang dilancarkan seminggu sebelum hari penamaan calon meletakkan tiga keutamaan utama.

Antaranya ialah memperkukuh ekonomi bagi menangani kos sara hidup, melaksanakan reformasi institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serta memperkasakan agenda alam sekitar, bekalan air dan ketahanan iklim.

“Muda adalah parti pertama yang membawa aspirasi ini secara jelas menerusi Kontrak Muda Johor. Ia lahir daripada pengalaman kami berkhidmat bersama rakyat sepanjang penggal lalu dan memahami keperluan sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Julai.

Cik Rashifa mendakwa manifesto PH tidak menyentuh langsung isu banjir, perubahan iklim atau alam sekitar, sedangkan bencana banjir menjadi antara cabaran utama yang dihadapi penduduk Johor.

“Jika penulis manifesto itu benar-benar memahami realiti Johor dan mendengar suara rakyat, mereka pasti tahu bahawa banjir yang semakin kerap berlaku telah menjadi beban besar kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata sepanjang perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Cik Amira Aisya Abdul Aziz, lebih 8,000 mangsa banjir dibantu, manakala jumlah kawasan panas banjir di Johor didakwa meningkat daripada sekitar 745 kepada 874 lokasi.

Menurutnya, Puteri Wangsa sendiri sering dilanda banjir bukan sahaja ketika musim tengkujuh, malah selepas hujan lebat atau kejadian air pasang.

Cik Rashifa berkata Cik Amira Aisya, yang juga anggota Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, sentiasa membangkitkan isu banjir serta langkah menangani perubahan iklim di peringkat dasar.

“Dalam keadaan ini, kegagalan sebuah parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan memasukkan agenda perubahan iklim dan banjir dalam manifestonya memberi isyarat bahawa mereka tidak benar-benar memahami konteks tempatan atau bersedia menjadi kerajaan negeri yang membela kepentingan rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata Muda komited memastikan negeri ini lebih bersedia menghadapi bencana, selain mahu pengurusan banjir diperkukuh supaya rakyat tidak lagi berdepan kesukaran setiap kali hujan lebat melanda.

“Kontrak Muda Johor menjadi panduan kepada saya dan semua calon Muda untuk terus memperjuangkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kesiapsiagaan negeri menghadapi cabaran perubahan iklim,” katanya.