Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 doktor henti pada 2024 untuk tawaran gaji tinggi di luar negara

Aug 19, 2025 | 3:31 PM
doktor, Malaysia, Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

Fenomena penghijrahan petugas sektor kesihatan Malaysia termasuk pegawai perubatan atau doktor ke luar negara, terus menjadi kebimbangan dengan sejumlah 12 pegawai perubatan direkodkan meletak jawatan pada 2024, untuk tawaran bekerja lebih baik di luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah itu meliputi 3.1 peratus daripada keseluruhan 386 doktor yang meletak jawatan pada 2024. 

Beliau berkata isu penghijrahan tenaga kerja perubatan Malaysia ke luar negara bukanlah perkara baru.

Katanya, faktor utama penghijrahan pegawai perubatan ke luar negara adalah kerana tawaran gaji berdaya saing, dipengaruhi oleh kadar tukaran wang asing kepada ringgit yang lebih tinggi terutama di negara maju atau negara berpendapatan tinggi. 

“Dalam ekosistem demokratik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pegawai perubatan daripada mencari pekerjaan di sektor swasta dan luar negara, termasuk menghalang usaha pengambilan yang dilakukan oleh sektor swasta atau agensi pencarian bakat asing berdaftar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada 19 Ogos. 

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh (Pulau Pinang) dari Perikatan Nasional (PN), mengenai tindakan KKM dalam mengatasi masalah migrasi doktor muda ke luar negara akibat tekanan kerja dan sistem kontrak yang tidak adil.

Menurutnya, walaupun KKM telah meningkatkan usaha dengan menawarkan gaji permulaan lebih berdaya saing pada kadar RM5,380 ($1,634), iaitu yang tertinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain, selain pelantikan tetap lebih 13,000 pegawai perubatan kontrak sejak 2023, serta menambah slot latihan kepakaran kepada 600 setahun mulai 2025, cabaran mengekalkan bakat perubatan tetap berlanjutan.

KKM juga katanya memberikan sokongan kesihatan mental dan psikososial kepada pegawai perubatan, bagi menjamin kesejahteraan pegawai perubatan dalam cabaran tugas mereka.

“Ia termasuk memberi sokongan emosi dan campur tangan awal berkaitan kesihatan mental kepada petugas kesihatan; perkhidmatan tele-kaunseling bagi petugas kesihatan yang mengalami masalah dan isu kesihatan mental dan program sokongan untuk meningkatkan daya tahan diri terhadap tekanan kerja,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, Berita Harian melaporkan Kerajaan Johor bimbang dengan dakwaan bahawa hospital di Singapura kini giat menarik petugas kesihatan awam Malaysia, terutama doktor untuk berkhidmat di Singapura dengan tawaran gaji lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata apa yang membimbangkan, sebahagian petugas kesihatan awam termasuk doktor dan jururawat sudah mengambil tawaran berkenaan.

“Ini (petugas kesihatan awam Malaysia terima tawaran Singapura) bukan berlaku sekarang saja, malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan tawaran gaji lumayan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg