JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bimbang dengan dakwaan bahawa hospital di Singapura kini giat menarik petugas kesihatan awam negara, terutama doktor untuk berkhidmat Singapura dengan tawaran gaji lumayan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata apa yang membimbangkan, sebahagian petugas kesihatan awam termasuk doktor dan jururawat sudah mengambil tawaran berkenaan.
“Ini (petugas kesihatan awam Malaysia terima tawaran Singapura) bukan berlaku sekarang sahaja, malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan tawaran gaji lumayan.
“Situasi itu turut menjejas kemudahan kesihatan di negeri, apatah lagi dengan Hospital Pasir Gudang akan mula beroperasi 1 Ogos nanti. Kakitangan terpaksa dipindahkan dari hospital sedia ada.
“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) 11 Julai bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk meningkatkan jumlah pengambilan pelatih kesihatan serta menawarkan peluang lebih baik supaya mereka memilih untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2025 pada 10 Julai. Acara itu disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dilapor akan mengadakan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ogos.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @dr_amandaelli, sesi pengambilan berkenaan disertakan dengan tawaran pakej sangat menarik, termasuk pakej gaji kira-kira RM385,000 ($115,578) setahun, tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
Berita Harian Malaysia memetik Ahli Dewan Negara (Adun), Dr RA Lingeshwaran, berkata tawaran pakej tahunan RM385,000 berserta penginapan dan pelbagai faedah tambahan akan mempercepatkan penghijrahan doktor Malaysia ke luar negara.
Katanya langkah berani Singapura mengadakan sesi temu duga terbuka di sini pada Ogos bagi pengambilan doktor Malaysia, mungkin memburukkan lagi masalah penghijrahan dalam sektor penjagaan kesihatan negara.
Encik Ling berkata kerajaan Johor sentiasa menghargai perkhidmatan doktor dan jururawat awam dan berharap mereka terus berkhidmat di negara serta negeri itu.
“Saya yakin mereka sebenarnya mahu terus berkhidmat di sini dan amat komited dengan tanggungjawab mereka. Namun, ia harus disertai dengan skim galakan serta tangga gaji lebih menarik supaya mereka tidak terpaksa mengambil keputusan berhijrah akhirnya,” katanya.
Mengenai tenaga kerja daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) serta hospital awam di negeri yang dipindahkan ke Hospital Pasir Gudang, beliau berkata langkah itu perlu dilakukan susulan Hospital Pasir Gudang akan beroperasi 1 Ogos ini.
Beliau akan membincangkan dengan KKM supaya menggantikan kakitangan yang dipindahkan ke Hospital Pasir Gudang berkenaan.
“Kerajaan Johor berharap pemindahan kakitangan kemudahan kesihatan HSA, HSI serta negeri ini ke Pasir Gudang dapat digantikan segera bagi mengelakkan operasi hospital sedia ada terjejas,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg