KUALA TERENGGANU: Polis menahan 12 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membantu siasatan kes seorang pelajar lelaki yang dipukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di kolej kediaman universiti hingga cedera.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail, berkata kesemua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 22 tahun ditahan di universiti awam berkenaan pada 6 petang 18 Disember.
Beliau berkata penahanan itu susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada hari sama, yang mendakwa anak lelakinya berusia 20 tahun dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar di kolej kediaman antara 1 pagi hingga 5 pagi, pada 15 Disember lalu.
“Mangsa menghantar beberapa keping gambar yang menunjukkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan melalui telefon kepada bapanya yang berada di Melaka pada 10.50 malam 15 Disember.
“Bapa mangsa tiba di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 16 Disember dan membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Wan Mohd Zaki berkata hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul menggunakan objek tumpul pada lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki kanan.
Katanya pihaknya turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Semua suspek dibawa ke mahkamah pada pagi 18 Disember untuk mendapatkan perintah reman dan dikenakan tahanan reman selama empat hari.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan,” katanya.
Sementara itu, UMT dalam satu kenyataan bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis dan menunggu hasil siasatan berhubung kejadian pukul secara bergilir-gilir membabitkan penuntut universiti berkenaan.
Menurut Pejabat Komunikasi Korporat UMT, pihak universiti turut menjalankan siasatan dalaman dan menegaskan setiap pelajar perlu sentiasa mematuhi Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024.
“UMT mengesahkan terdapat laporan salah laku pelajar yang dibuat kepada pihak polis. UMT menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius atas insiden ini.
“Bagaimanapun, UMT tidak dapat mengulas lebih lanjut namun bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis dan menunggu hasil siasatan,” kata kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg