TEMERLOH (Pahang): Seramai 14 lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, di Pahang, pada 14 Julai, atas pertuduhan berlagak seperti wanita di sebuah premis di Mentakab, pada awal 2025.

Daripada jumlah itu, tiga tertuduh turut berdepan pertuduhan tambahan kerana berpakaian tidak sopan di tempat awam.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Syarie Norhisham Ahmad, selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 dengan 11.30 malam pada 12 Januari 2025 di sebuah premis di Mentakab.

Bagi pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013.

Sementara itu, tiga tertuduh lain turut berdepan dakwaan tambahan mengikut Seksyen 53 enakmen sama.

Peguam syarie yang mewakili kesemua tertuduh, Encik Muhammad Syarafi Mohd Salleh, berkata semua anak guamnya membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon agar kes itu dibicarakan.

Beliau berkata pihak pembelaan akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes, termasuk kertas pertuduhan, bagi membolehkan pihaknya meneliti keseluruhan kes sebelum prosiding seterusnya.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM500 ($159) dengan RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Encik Muhammad Syarafi ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan tiada syarat pemantauan khas dikenakan terhadap kesemua tertuduh sepanjang tempoh jaminan.

Ini, katanya, kerana urusan penguatkuasaan sudah selesai dan kes kini di bawah kendalian pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Encik Busu Firdaus Abu Bakar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Encik Muhammad Syarafi, dan Encik Mohamed Noor Helmi Abdul Hamid.