Serbuan terhadap 201 lelaki termasuk Muslim di sebuah spa yang didakwa menjadi sarang lelaki ‘gay’ di Kuala Lumpur minggu lalu, membuka perdebatan mengenai sama ada kerangka undang-undang Malaysia mencukupi untuk menangani kes melibatkan hubungan sejenis, atau wujud kelompangan yang menghalang siasatan berkesan.
Dalam konteks Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi dan penduduk majoriti Muslim, nilai agama dan moral memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar yang membentuk sensitiviti masyarakat terhadap isu yang bertentangan adab, budaya dan agama – LGBT (lesbian, gay, biseksual, transjantina).
Banyak pihak menyuarakan kebimbangan apabila Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menjelaskan kesukaran untuk meneruskan siasatan yang menyusuli tindakan pendakwaan, dengan alasan kekurangan bukti dan tiada pihak yang mengaku menjadi mangsa perbuatan seks songsang.
Untuk rekod, kes berkenaan disiasat polis mengikut undang-undang jenayah sivil di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan (KK) kerana hubungan seks luar tabii dan 372KK bagi kesalahan eksploitasi pelacuran.
Bagaimanapun pakar Perlembagaan Malaysia, Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata isu sebenar bukan pada ketiadaan undang-undang yang sesuai untuk mengambil tindakan, tetapi pada bagaimana undang-undang itu digunakan.
Polemik utama muncul apabila polis menjelaskan mereka tidak dapat meneruskan siasatan di bawah Seksyen 377KK dan 372KK itu kerana tidak ada ‘mangsa’ dan bukti perlakuan liwat atau seks songsang.
Menurut Datuk Shamrahayu, kekeliruan ini bermula daripada seksyen mana yang dipilih oleh polis.
“Seksyen yang digunakan (377KK) ialah peruntukan persetubuhan luar tabii tanpa persetujuan, yang sememangnya mensyaratkan mangsa dan keterangan spesifik.
“Justeru kegagalan untuk mengenal pasti mangsa bukanlah ‘kelompangan undang-undang’, tetapi implikasi teknikal kerana seksyen tersebut disusun untuk kes liwat paksa,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).
Tambah Datuk Shamrahayu, peruntukan lain seperti Seksyen 377D (melanggar kesopanan) lebih luas, tidak memerlukan mangsa dan lebih mudah digunakan – bergantung kepada bukti di lokasi.
Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa agama juga belum mengumumkan sebarang tindakan terhadap lelaki Muslim yang ditangkap, termasuk untuk didakwa mengikut undang-undang syariah.
Untuk itu beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melihat ia sebagai refleksi kepada kebimbangan pendakwa syariah selepas dua keputusan penting mahkamah Persekutuan sebelum ini, pernah membatalkan beberapa peruntukan jenayah syariah sebagai tidak berperlembagaan.
Berikutan itu beliau berkata walaupun Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan kemungkinan pendakwaan terhadap tangkapan Muslim, pihak penguat kuasa agama mungkin lebih berhati-hati agar tidak membawa kes yang boleh sekali lagi diuji di mahkamah dan berisiko digugurkan.
Polemik awam sejak serbuan itu banyak tertumpu kepada dakwaan bahawa Malaysia tidak mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani perbuatan homoseksual suka sama suka.
Datuk Shamrahayu menolak naratif itu, sebaliknya berpandangan kerangka undang-undang Malaysia, termasuk seksyen mengenai kelucahan dan perlakuan luar tabii, sudah memadai.
Dalam debat berterusan mengenai nilai moral awam, beliau menyatakan bahawa perbuatan homoseksual secara suka sama suka patut dijadikan kesalahan jenayah secara jelas dalam undang-undang – sama ada bagi Muslim mahupun bukan Muslim.
Ini katanya selari dengan prinsip Malaysia yang mengangkat nilai moral awam yang diiktiraf Perlembagaan, keperluan undang-undang yang konsisten untuk semua dan realiti sosial Malaysia yang menolak normalisasi hubungan sejenis.
“Pada saya undang-undang syariah itu sudah jelas untuk kawal selia orang Islam. Tetapi yang kita hendak bincangkan ialah persoalan tentang bukan Muslim.
“Jangan kita kata hanya orang Islam saja dilarang daripada melakukan kesalahan homoseksual atau LGBT. Jadi pada saya kesalahan homoseksual ini perlu tertakluk kepada semua warga Malaysia, atas dasar negara ini mementingkan nilai moral awam,” katanya.
Satu lagi yang menjadi pertikaian ialah pemilik spa mungkin tidak dikenakan tindakan kerana status premis berlesen dan tiada bukti kukuh terjadinya perlakuan seks luar tabii di situ.
Tetapi Profesor Datuk Shamrahayu menekankan bahawa lesen tetap boleh digantung atau dibatalkan jika wujud penyalahgunaan tujuan lesen.
“Penemuan kondom misalnya, boleh dianggap elemen melanggar syarat lesen. Mungkin ia bukan bukti jenayah, tetapi bukti pelanggaran peraturan pelesenan,” katanya.
Beberapa pengunjung spa pula mendakwa privasi mereka diceroboh dan identiti mereka terdedah kepada media ketika serbuan polis itu dilakukan.
Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, tegas menafikan wujud perlanggaran hak asasi dalam serbuan polis itu.
Malah, semakan BH di Internet juga menemui ulasan yang boleh memberi gambaran wujudnya kegiatan berunsur hubungan songsang di spa didakwa, sekali gus mengukuhkan asas serbuan pihak berkuasa.
Jelas Profesor Datuk Shamrahayu, saman hanya boleh dipertimbangkan jika polis melakukan serbuan tanpa asas munasabah.
“Tetapi dalam kes ini saya berpandangan serbuan dilakukan berdasarkan laporan dan kepercayaan bahawa jenayah sedang berlaku, justeru pihak berkuasa berada dalam ruang kuasa sah untuk membuat serbuan dan tiada istilah melanggar privasi berlaku,” katanya.
Dalam satu perspektif lain, kes tangkapan lelaki ‘gay’ itu turut mencetuskan persoalan tentang bagaimana masyarakat Malaysia memahami isu seksualiti – khususnya kecenderungan hubungan sejenis atau homoseksual daripada sudut psikologi.
Dengan perdebatan masyarakat lebih tertumpu pada aspek moral, agama dan undang-undang, pakar psikologi berpendapat ada dimensi lain yang perlu diberi perhatian untuk meningkatkan kesedaran awam, termasuk mengenai perkembangan identiti seksual, perubahan sosial dan pengaruh media digital.
Bercakap kepada BH, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nasrudin Subhi, berkata isu LGBTQ bukanlah fenomena baru, namun penyebarannya khususnya di Malaysia kini berlaku jauh lebih cepat, sebahagiannya didorong oleh penggunaan media sosial tanpa sempadan.
“Isu LGBTQ sudah lama wujud, tetapi sejak akhir-akhir ini ia lebih menular. Dengan adanya media sosial, sebaran maklumat jauh lebih pantas dan akses jauh lebih mudah. Tanpa sekatan Internet, semua pihak boleh terdedah kepada kandungan berkaitannya,” katanya.
Mengulas kecenderungan sebahagian lelaki memilih hubungan sejenis, Dr Nasrudin menjelaskan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan orientasi seksual yang berbeza – sama ada heteroseksual, homoseksual atau biseksual dan proses memahami orientasi diri pula berlaku sepanjang kehidupan, khususnya ketika remaja.
Dalam hal ini beliau menekankan peranan besar ibu bapa dalam memerhati perubahan tingkah laku anak, terutama ketika mereka mencari identiti diri, termasuk identiti seksual.
Menurutnya, persekitaran sosial termasuk rakan sebaya dan pendedahan digital boleh mempengaruhi cara seseorang mengurus naluri seksual mereka.
Namun, kecenderungan itu sendiri bukan semestinya datang daripada faktor luaran semata-mata.
“Sekiranya seseorang mempunyai tarikan sesama jantina, mereka perlu tahu bagaimana mengurus perasaan itu. Ada kaedah tertentu yang boleh membantu,” katanya menjelaskan individu itu boleh merujuk kepada pakar bagi bantuan spesifik.
Beliau turut menjelaskan bahawa naluri seksual sama seperti dorongan emosi lain yang tidak mudah dikawal, dan boleh menyebabkan seseorang ‘mudah tergelincir’.
Media Barat dan kandungan digital yang semakin mudah diakses pula, kata Dr Nasrudin mempercepatkan normalisasi terhadap gaya hidup tertentu, termasuk hubungan songsang.
Dengan tangkapan lelaki dalam serbuan itu turut melibatkan golongan yang menghampiri usia persaraan iaitu 60 tahun, Dr Nasrudin menjelaskan bahawa naluri seksual tidak semestinya hilang apabila seseorang meningkat usia.
“Selagi belum andropause, naluri seksual tetap ada. Sebenarnya dalam kalangan warga emas, keperluan sebenar bukan semestinya seksual, tetapi lebih kepada keinginan untuk dihargai dan disayangi,” ujarnya.
Pensyarah Kulliyyah Perubatan UIAM Kampus Kuantan, Pahang, Profesor Dr Samsul Draman, sependapat bahawa gejala songsang semakin berkembang di Malaysia, sambil menyatakan bahawa rawatan pencegahan HIV seperti PrEP (pre-exposure prophylaxis), walaupun berperanan melindungi pasangan daripada jangkitan, telah disalahguna dalam kalangan golongan homoseksual.
“PrEP asalnya dicipta untuk pasangan suami isteri di mana suami positif HIV bagi melindungi isteri. Tetapi apabila dibenarkan untuk pasangan homoseksual, ia secara tidak langsung menggalakkan homoseksual,” jelasnya.
Beliau yang aktif menjalankan program pemulihan golongan LGBT sejak 2011, menambah bahawa naluri seks songsang bukanlah semula jadi dan boleh dipulihkan melalui pendekatan kerohanian.
Malah banyak kes yang beliau kendalikan menemui kes terjebak dengan LGBT akibat pengalaman diliwat atau trauma seksual pada zaman kanak-kanak; pengaruh rakan sebaya dan budaya sosial; latar belakang keluarga yang bercerai-berai; kurang kasih sayang dan kerapuhan iman bagi golongan Muslim.
Katanya, banyak program pemulihan yang menekankan pendekatan agama dan rohani berjaya menunjukkan perubahan positif dalam kalangan peserta program pemulihan LGBT, terutama golongan pondan atau ‘mak nyah’.
“Antaranya hampir 30 ‘mak nyah’ telah menunaikan umrah, 30 orang melakukan pembedahan membuang implant buah dada dan lapan daripada 10 pusat pelacuran ‘mak nyah’ telah ditutup oleh pengusahanya sendiri,” kongsinya kepada BH.
Profesor Dr Samsul turut mengulas bahawa masyarakat terlalu fokus kepada ‘demam’ (simptom) seperti HIV, tetapi tidak merawat punca sebenar gejala LGBT, menyebabkan gejala itu kian berkembang, terutama dengan dunia media sosial dan pengaruh Barat yang semakin menyusup ke dalam budaya masyarakat timur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg