KUALA LUMPUR: Seramai 18 VIP (orang kenamaan) Malaysia telah diberikan DNAA iaitu dilepas tanpa dibebaskan, dalam pelbagai kes mahkamah dari 2018 hingga 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kes tertinggi direkodkan masing-masing pada 2020 dan 2023, iaitu sebanyak lima kes DNAA membabitkan VIP atau VVIP.
Selain itu, tiga kes DNAA direkodkan pada 2019, dua kes pada 2018 dan 2024, serta satu kes pada 2021.
“Keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
“Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baru yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, pada 25 Februari, lapor Harian Metro.
Datuk Azalina menjawab soalan daripada Ahli Parlimen (AP) Tumpat (Kelantan) daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mumtaz Md Nawi, yang ingin tahu jumlah kes VIP atau VVIP yang diberi keputusan DNAA sejak lima tahun kebelakangan dan langkah mempertingkatkan ketelusan proses perundangan.
Datuk Azalina berkata terdapat beberapa kategori orang kenamaan yang disenaraikan. Golongan pertama ialah Sultan, Raja, Tuan Yang Terutama dan kerabat dekat.
Kedua ialah Menteri Kabinet, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara), Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Diraja atau Majlis Pangkuan Negeri (atau apa-apa nama majlis sedemikian digelar) dan pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik.
Ketiga, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya.
Manakala golongan keempat adalah pegawai dan pegawai kanan kerajaan iaitu dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional serta ketua jabatan persekutuan atau negeri dan agensi kerajaan, katanya.
Untuk rekod, antara kes DNAA melibatkan VVIP dan VIP Malaysia adalah membabitkan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, dalam kes tuduhan pecah amanah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 November 2024 memutuskan DNAA kepada Encik Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar daripada enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ($2 bilion) berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga diberikan DNAA oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg