Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib lepas tanpa bebas kes pecah amanah RM6.6b

Nov 27, 2024 | 5:55 PM
Hakim memerintahkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (kiri), dan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)  selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan ratusan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan, walaupun tuduhan difailkan sejak 2018.
Hakim memerintahkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (kiri), dan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan ratusan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan, walaupun tuduhan difailkan sejak 2018. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada enam tuduhan kes pecah amanah bernilai RM6.6 bilion ($1.99 bilion).

Tuduhan itu membabitkan harta kerajaan Malaysia berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Keputusan DNAA untuk Encik Najib dan Tan Sri Mohd Irwan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 November, selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan ratusan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan, walaupun tuduhan telah difailkan sejak 2018.

Dokumen terbabit termasuk rekod mesyuarat Kabinet serta dokumen daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar dan Kementerian Pengangkutan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil membenarkan permohonan Encik Najib dan Tan Sri Mohd Irwan melalui permohonan notis usul DNAA yang difailkan kededua tertuduh pada 27 November.

Datuk Muhammad Jamil dalam keputusan ringkasnya berkata berdasarkan fakta dan hal keadaan kes itu, mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk memerintahkan DNAA bagi kedua-dua tertuduh daripada keenam-enam tuduhan.

“Alasan ringkas saya yang pertama, pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan kedua, perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh menuduh kededua tertuduh semula.

“Ketiga, kes ini didaftarkan pada 2018, namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A CPC.

“Ini adalah suatu kelewatan melampau. Permohonan tertuduh pertama (Encik Najib) dan tertuduh kedua (Tan Sri Mohd Irwan) dalam notis usul dibenarkan.

“Oleh itu, tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam tuduhan. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 25 Oktober 2018, Encik Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah bagi enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dengan 18 Disember 2017.

Encik Najib telah menjalani hukuman penjara sejak 2022 selepas didapati salah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau turut dijatuhi hukuman denda RM210 juta.

Bagaimanapun pada akhir Januari 2024, Encik Najib memperoleh pengurangan 50 peratus hukuman penjara 12 tahun itu dan pengurangan jumlah denda kepada RM50 juta daripada Lembaga Pengampunan, yang ketika itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Ini sekali gus menyaksikan bekas presiden Umno dan Ahli Parlimen Pekan, Pahang, itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg