Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 Exco Johor buat laporan polis berkaitan dakwaan hina Institusi Diraja Johor

Dec 17, 2025 | 1:00 PM
Exco Johor, laporan polis, hina Institusi Diraja Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

Dua Exco Kerajaan Johor telah membuat laporan polis susulan beberapa hantaran di media sosial aktivis Encik Fahmi Reza yang didakwa mengandungi kenyataan serta visual bersifat melampau, provokatif dan menghina Institusi Diraja Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata perbuatan berkenaan secara jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Encik Aznan, kandungan hantaran tersebut bukan sahaja menyinggung perasaan penduduk Johor, bahkan potensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam masyarakat sekiranya dibiarkan tanpa tindakan.

“Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara, justeru sebarang cubaan untuk merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi berkenaan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Sehubungan itu, saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, telah membuat laporan polis bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Disember.

Encik Aznan berkata tindakan tegas wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan 1948 dan undang-undang berkaitan, demi menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan keharmonian awam, keselamatan dan kestabilan sosial terus terpelihara.

Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis berhubung perkara sama sedang dibuat secara meluas di serata Johor, melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan belia negeri serta daerah dan pergerakan pemuda parti politik.

“Laporan polis turut dibuat oleh lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, selain ketua-ketua bahagian parti politik di beberapa daerah.

“Semua laporan tersebut berkaitan kenyataan Fahmi Reza yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan Institusi Diraja Johor, dengan jumlah laporan dijangka terus bertambah,” katanya.

Sementara itu, Cik Khairin-Nisa Ismail berkata hantaran media sosial yang didakwa menghina Institusi Diraja Johor itu jelas bercanggah dengan prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan dan tidak boleh dipandang ringan.

“Sebarang usaha untuk membangkitkan sentimen negatif terhadap Institusi Diraja Johor adalah tidak boleh diterima.

“Kami berharap semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam penggunaan media sosial, menghentikan sebarang bentuk provokasi serta menghormati undang-undang dan Institusi Diraja Johor demi memelihara keamanan dan keharmonian bersama,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg