Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 pegawai polis M’sia disiasat peras ugut wang di pusat pemeriksaan Johor

Apr 7, 2024 | 2:28 PM
Kedua-dua suspek didakwa meminta mangsa, yang sedang melalui pelepasan imigresen, membayar RM 2,000 ($570) untuk mengelak daripada ditangkap.
Kedua-dua suspek didakwa meminta mangsa, yang sedang melalui pelepasan imigresen, membayar RM 2,000 ($570) untuk mengelak daripada ditangkap. -  Foto ZAOBAO

JOHOR BAHRU: Dua pegawai polis Malaysia telah ditangkap kerana didakwa cuba memeras wang daripada seorang lelaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI). Mereka telah ditahan dalam reman selama tiga hari. 

Perintah tahanan reman terhadap suspek diberikan oleh Hakim Majistret R. Salini demi membantu siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Jenayah bagi peras ugut. 

Kedua-dua suspek, yang berusia 32 tahun dan 33 tahun, ditahan sekitar 1.50 petang pada 5 April, lapor akhbar The Straits Times, menukil beberapa media di Malaysia.

Awal daripada itu, Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M. Kumar, dalam satu kenyataan berkata polis menerima laporan yang diajukan oleh mangsa berusia 29 tahun sekitar 12.23 tengah malam pada 5 April lalu. 

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang melalui pemeriksaan imigresen di BSI apabila kedua-dua suspek menahannya dan mendakwa beliau mempunyai rekod jenayah. 

“Suspek memeras ugut RM 2,000 ($570) daripada mangsa supaya tidak ditangkap dan ditahan di lokap polis,” kata beliau sambil menyatakan bahawa kedua-dua suspek yang ditahan itu diuji negatif menggunakan dadah.

Beliau menambah bahawa polis Johor komited untuk memerangi masalah integriti dan salah laku jenayah dalam kalangan pegawai polis dan kakitangan lain untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan itu. 

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap sebarang pegawai dan anggota polis yang melakukan jenayah berdasarkan prinsip kesaksamaan di bawah undang-undang mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Awal daripada itu, semasa sidang media anjuran ketua sayap belia Persatuan Cina Malaysia Johor, Encik Heng Zhi Li, mangsa itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, mendakwa dua anggota polis cuba memeras wang daripadanya pada 2 April. 

Mangsa itu juga mendakwa beliau telah ditemani oleh salah seorang suspek untuk pergi ke beberapa mesin ATM untuk mengeluarkan wang, walaupun beliau menyatakan tiada wang dalam dua akaun banknya.  

Mangsa berpura-pura mengalami serangan asma selepas mengeluarkan RM 1,000 di sebuah bank di Taman Pelangi dan berjaya melarikan diri dengan bantuan pasangan tempatan yang melalui kawasan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg