2 polis cedera dalam pergaduhan, 8 individu ditahan di Pulau Pinang
2 polis cedera dalam pergaduhan, 8 individu ditahan di Pulau Pinang
2 polis cedera dalam pergaduhan, 8 individu ditahan di Pulau Pinang
GEORGETOWN: Dua anggota Pasukan Khas Balai Polis Jalan Dato Keramat, Georgetown, Pulau Pinang, cedera dalam pergaduhan dengan orang awam.
Insiden pada 25 Mac itu berpunca daripada salah faham di sebuah kedai makan berhampiran pangsapuri di Jalan Sungai Pinang.
Kejadian itu tular di media sosial dan disahkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Beliau menyatakan kededua anggota polis itu telah dirawat sebagai pesakit luar.
“Setakat ini, lapan individu berusia 20-an hingga 40-an tahun ditahan untuk siasatan. Polis sedang memburu beberapa lagi individu,” katanya pada 26 Mac, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Difahamkan, kejadian kira-kira 10 malam itu tercetus selepas motosikal yang ditunggang anggota polis terlanggar kedai makan di pangsapuri tersebut.
Terdahulu, empat anggota polis sedang mengejar suspek bermotosikal yang memasuki kawasan pangsapuri sebelum terbabas dan melanggar gerai makan di laluan masuk perumahan.
Seorang anggota polis dilaporkan cedera ringan pada mata dan pipi akibat pergelutan, manakala seorang lagi bengkak di dahi.
Motosikal milik anggota polis juga didapati rosak, disyaki angkara orang awam.
Sementara itu dalam kes berasingan, Polis Selangor menafikan pembabitan Unit Pengiring mereka dalam penganjuran acara Hari Raya Aidilfitri 2026, yang tular menerusi mesej pada 24 Mac.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, menegaskan mesej palsu itu mendakwa acara akan diadakan pada 26 Mac di Dewan Ibu Pejabat Kontingen Polis Selangor dan mengajak orang ramai menderma ke akaun MBSB Bank atas nama Norfadilah Md Nor.
“Ini adalah cubaan penipuan untuk mengaut untung dan mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan pada 25 Mac.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan mesej itu dan mengelak daripada membuat sebarang transaksi ke akaun yang dinyatakan.

