Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 polis M’sia didakwa terlibat rasuah RM1.25j, cuba tutup kes beli senjata api

May 28, 2024 | 2:46 PM
Penolong Pesuruhjaya Polis Chin Khiam Kong, 54 tahun (dua dari kiri) dan Timbalan Superintenden Suhairon Abdullah, 42 tahun (dua dari kanan), mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah RM1.25 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 28 Mei. 
Penolong Pesuruhjaya Polis Chin Khiam Kong, 54 tahun (dua dari kiri) dan Timbalan Superintenden Suhairon Abdullah, 42 tahun (dua dari kanan), mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah RM1.25 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 28 Mei.  - Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan polis berpangkat Penolong Pesuruhjaya (ACP) dan Timbalan Superintenden (DSP) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan rasuah berjumlah RM1.25 juta ($360,000) bagi membantu menutup siasatan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan mata wang kripto dan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Bagaimanapun kededua tertuduh iaitu ACP Chin Khiam Kong, 54 tahun, dan DSP Suhairon Abdullah, 42 tahun, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan terhadap mereka di depan Hakim Azura Alwi, di mahkamah pada 28 Mei.

Chin merupakan Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, manakala Suhairon merupakan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency.

Kededuanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Kuala Lumpur, lapor Kosmo!.

Mengikut tuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama, sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersetuju menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28 tahun, untuk membantu menutup siasatan jenayah ke atasnya berkaitan kes di bawah Seksyen 120 Kanun Keseksaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, JSJK, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 12 tengah hari hingga 1 petang, pada 8 April lalu.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa telah menerima wang sogokan dengan jumlah sama daripada lelaki itu juga untuk dorongan serupa, di ruang letak kereta, menara itu pada tarikh yang sama.

Kededua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sementara itu, Chin turut berdepan dua lagi tuduhan iaitu bersetuju menerima dan telah mendapat suapan RM250,000 daripada individu itu sebagai dorongan serupa di lokasi yang sama pada 12.30 tengah hari 18 April dan 10.30 pagi hingga 1 petang pada 19 April.

Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM40,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan 30 Julai ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg