ISKANDAR PUTERI (Johor): Sebanyak 2,342 syarikat berpangkalan di Johor dikenal pasti berpotensi menyertai rantaian bekalan pelabur Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ketika kerajaan negeri merangka langkah memperluas penyertaan perusahaan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata jumlah itu sebahagian daripada 5,245 syarikat tempatan yang dikenal pasti menerusi laporan awal kajian berkenaan.

“Cabaran kita bukan sekadar memastikan bantuan tersedia, tetapi juga memastikan bantuan yang tepat sampai kepada syarikat yang tepat, dan akhirnya diterjemahkan kepada peluang perniagaan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Dewan Negeri Johor, di sini, pada 20 November.

Kajian tersebut dilaksanakan bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia.

Dapatan awal menunjukkan 72 peratus syarikat antarabangsa yang menyertai kajian menyatakan kesediaan menggunakan syarikat tempatan sebagai pembekal peringkat pertama.

Sebanyak 68 peratus pula bersedia melibatkan syarikat tempatan pada peringkat kedua dan ketiga rantaian bekalan.

Bagaimanapun, Encik Lee menegaskan nilai keseluruhan kontrak dan pendapatan sebenar syarikat tempatan yang berpunca secara khusus daripada pelaburan RM110 bilion ($26 bilion) itu belum dapat ditentukan secara menyeluruh.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurutnya, 2,631 kerja pembinaan bernilai RM40.65 bilion dianugerahkan kepada kontraktor tempatan di Johor pada 2025.

“Angka itu merangkumi pembangunan awam dan swasta daripada pelbagai kegiatan ekonomi. Data berkenaan tidak mengasingkan kontrak yang berkaitan secara langsung dengan pelaburan diluluskan.

“Bagi memperluas peluang perusahaan kecil dan sederhana (SME), kerajaan negeri sedang meneliti pembentukan pangkalan maklumat pembekal serta pemadanan syarikat tempatan dengan keperluan pelabur.

“Cabaran yang dikenal pasti termasuk kekurangan modal, pensijilan, keupayaan pengeluaran dan pekerja mahir, selain kesukaran mendapatkan maklumat perolehan,” katanya.

Encik Lee berkata sesetengah syarikat mempunyai keupayaan membekal barangan atau perkhidmatan, tetapi belum mempunyai hubungan langsung dengan bahagian perolehan syarikat antarabangsa.

Bantuan perlu disesuaikan mengikut keperluan bidang dan kemampuan syarikat, termasuk latihan, pembiayaan, peralatan serta pemindahan teknologi.

Semua cadangan dasar akan diperhalusi selepas kajian penuh disiapkan sebelum keputusan pelaksanaan dimuktamadkan.

Dalam pembangunan tenaga kerja, lebih RM22 juta dibelanjakan melalui Pro-Mahir sehingga 2026, memanfaatkan kira-kira 3,500 orang.

Belanjawan Johor 2027 turut menyediakan RM4 juta untuk Pro-Mahir Plus dan RM1 juta bagi bantuan peralatan latihan kemahiran.

Menurut Encik Lee, pembangunan pembekal perlu disokong pekerja yang mampu mengendalikan peralatan serta memenuhi keperluan pengeluaran yang semakin rumit.

Beliau berkata matlamat kerajaan negeri ialah membantu syarikat Johor mencapai piawaian antarabangsa sambil mengekalkan daya saing negeri sebagai tempat pelaburan.

“Kita tidak mahu hanya membawa industri dunia ke Johor.

“Kita mahu membangunkan industri Johor supaya mampu bersaing dengan dunia,” katanya.