JOHOR BAHRU: Perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Johor perlu meningkatkan mutu produk, kecekapan penghantaran dan keupayaan kewangan untuk merebut peluang dalam rantaian bekalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata kedudukan sesebuah syarikat dalam zon ekonomi itu tidak menjamin ia akan dipilih sebagai pembekal kepada pelabur atau pelanggan antarabangsa.

Sebaliknya, pembeli tetap menilai mutu, harga, pematuhan piawaian serta kemampuan syarikat memenuhi tempahan lebih besar.

“Berada dalam sebuah zon ekonomi tidak secara automatik meletakkan sesebuah syarikat dalam senarai pembekal yang diluluskan oleh pembeli.

“Itulah sebabnya kesiapsiagaan pembekal perlu diberikan perhatian yang sama penting dengan promosi pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada 5 November sempena program, SME BizChat 2026, di Johor Bahru.

Menurut Encik Lee, manfaat JS-SEZ kepada SME perlu dilihat melalui akses kepada bakal pelanggan, kerjasama dengan rakan serantau dan penyertaan dalam rantaian bekalan yang memenuhi pasaran antarabangsa.

Peluang itu merangkumi pembekalan komponen, pembungkusan, pengangkutan, penyelenggaraan dan khidmat profesional, selain kejuruteraan elektrik serta sistem penyejukan bagi industri digital.

Beliau berkata usahawan perlu mengenal pasti pelanggan atau bahagian rantaian bekalan yang mampu dilayani, sebelum menilai kekurangan dari segi pensijilan, kapasiti pengeluaran atau sistem pengurusan.

Pelabur besar pula digalak melibatkan pembekal tempatan lebih awal dengan menjelaskan keperluan perolehan dan piawaian yang perlu dipenuhi.

“Pelaburan menjadi bermakna kepada rakyat apabila ia menghasilkan tempahan untuk pembekal tempatan, membina keupayaan syarikat kita dan mewujudkan pekerjaan lebih baik,” katanya.

Menjelang 2027, Encik Lee menggariskan empat keutamaan kepada SME, iaitu meningkatkan keupayaan perniagaan, menggunakan teknologi secara berkesan, memperkukuh disiplin kewangan dan membangunkan kemahiran pekerja.

Dalam penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), beliau menyarankan syarikat bermula dengan masalah khusus yang hasil penambahbaikannya boleh diukur, seperti penyediaan sebut harga, pengurusan bekalan atau penyusunan invois.

Bagaimanapun, tanggungjawab manusia mesti kekal jelas, termasuk menyemak ketepatan spesifikasi dan harga serta melindungi maklumat pelanggan.

Mengenai kewangan, beliau mengingatkan bahawa pertambahan tempahan boleh menekan aliran tunai kerana bahan mentah, gaji dan penghantaran perlu dibayar sebelum bayaran pelanggan diterima.

“Sebuah syarikat boleh mencatat keuntungan di atas kertas tetapi masih menghadapi masalah aliran tunai,” ujar beliau.

Justeru, syarikat perlu memahami syarat pembayaran dan keperluan modal kerja sebelum menerima kontrak besar, selain menilai kemampuan membayar balik pembiayaan sebelum membeli mesin.

Encik Lee turut menekankan kepentingan latihan pekerja, peluang kemajuan kerjaya serta persediaan memenuhi keperluan pelanggan berkaitan penggunaan tenaga, pengurusan sisa dan amalan pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menghubungkan usaha menarik pelaburan dengan pelaksanaan projek serta penyertaan perusahaan tempatan.

Beliau berkata Pusat Fasilitasi Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) berperanan menyelaraskan urusan pelaburan, termasuk permohonan, kelulusan dan pelaburan semula.

“Keupayaan perusahaan tempatan akan membantu menentukan sejauh manakah peluang itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran berkekalan untuk rakyat,” katanya.