Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2j pengunjung banjiri Batu Caves sempena Thaipusam

Penulis terpaksa berjalan empat km ke Batu Caves cari tempat letak kereta
Feb 16, 2025 | 5:30 AM
Patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter, iaitu antara yang tertinggi di dunia dan 272 anak tangga berwarna warni menjadi antara tarikan pelancong untuk melawat Batu Caves di Selangor, terutama sepanjang festival perayaan Thaipusam yang menarik kunjungan lebih dua juta pengunjung, termasuk pelancong.
Patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter, iaitu antara yang tertinggi di dunia dan 272 anak tangga berwarna warni menjadi antara tarikan pelancong untuk melawat Batu Caves di Selangor, terutama sepanjang festival perayaan Thaipusam yang menarik kunjungan lebih dua juta pengunjung, termasuk pelancong. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Saban tahun sejak puluhan tahun lalu, Batu Caves – satu kawasan yang terletak di daerah Gombak, Selangor, menjadi tumpuan dunia dan menarik jutaan pengunjung terutama setiap kali tibanya perayaan Thaipusam.

Malah, Batu Caves yang masih terpelihara keindahan semulajadinya bukan saja dibanjiri penganut Hindu untuk meraikan perayaan itu, bahkan juga jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Untuk rekod, pada sambutan Thaipusam 2025, sekitar dua juta pengunjung membanjiri Batu Caves.

Namun, Batu Caves sentiasa hidup dan tidak putus-putus menerima pelawat, walaupun di luar musim perayaan. Cuma tidaklah sesibuk ketika Thaipusam.

Secara sejarahnya, Batu Caves merupakan tempat penting bagi penganut Hindu di Malaysia dan seantero dunia, di mana gua di situ digunakan sebagai tapak ibadah mereka. 

Kebanyakan pelancong mengenali Batu Caves - yang menempatkan tarikan utama iaitu kuil Hindu di puncak gua, patung dewa Murugan setinggi 42.7 meter - iaitu antara yang tertinggi di dunia - selain 272 anak tangga berwarna warni, menerusi internet. 

Kemeriahan Batu Caves yang menjadi tapak utama dan paling besar bagi sambutan Thaipusam di Malaysia, melonjakkan keterujaan pengunjung terutama pelancong pelbagai bangsa dan agama dari dalam dan luar negara untuk melawat gua batu kapur itu.

Selain penganut Hindu memanjat 272 anak tangga curam menuju ke kuil gua di puncak Batu Caves untuk upacara keagamaan, ramai pelancong khususnya yang menggemari aktiviti ekstrem atau pengembaraan tidak melepaskan peluang sama.

Rasa penat mendaki anak tangga hilang sebaik melihat keindahan dinding batu kapur yang mempesona.

Bagi penduduk di Batu Caves atau sekitar Gombak, pada setiap kali perayaan Thaipusam, mereka akan mengelak untuk melalui jalan di kawasan itu kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas, ekoran banyak jalan utama ditutup bagi memberi laluan penganut Hindu meraikan perayaan agama mereka.

Kawalan polis juga ditingkatkan di Batu Caves dengan sekitar 1,500 pegawai dan anggota ditugaskan mengawal trafik dan ketenteraman awam, malah pasukan perubatan turut bersedia dengan ambulans dan khemah rawatan.

Sebahagian besar perniagaan pula merangkumi pengusaha hotel dan penginapan, peniaga makanan, pakaian, aksesori, permainan kanak-kanak dan pelbagai lagi menganggap perayaan Thaipusam di Batu Caves sebagai ‘lubuk duit’, kerana dalam tempoh seminggu perayaan Thaipusam mereka boleh menjana pendapatan berlipat kali ganda.

Tinjauan Berita Minggu (BM) di Batu Caves pada Thaipusam baru-baru ini mendapati selain masyarakat Hindu, pengunjung berbilang kaum dan agama berpusu-pusu dan sanggup meredah kesesakan untuk ke sana bagi merasai sendiri keistimewaan dan keunikan perayaan itu.

Malah, penulis sendiri terpaksa berjalan sejauh empat kilometer untuk tiba di kawasan kuil Batu Caves daripada tempat kereta diletakkan dan berkali-kali menempuh kesesakan semata-mata untuk mencari tempat meletak kenderaan.

Sepanjang perjalanan itu juga, dapat dilihat keterujaan dan semangat pengunjung termasuklah yang sanggup membawa bayi seusia dua bulan, ibu bapa berkerusi roda dan warga emas yang berjalan perlahan untuk memeriahkan sambutan Thaipusam.

Bagi warga tempatan, Cik V Amreisini, 31 tahun, setiap tahun beliau membawa kedua ibu bapanya dari Kajang, Selangor, meredah kesesakan beberapa jam untuk tiba di Batu Caves untuk meraikan Thaipusam.

Kata beliau yang bertugas sebagai penolong akauntan di syarikat swasta, Batu Caves bukan saja meriah pada hari perayaan Thaipusam, bahkan sejak kira-kira seminggu sebelumnya kawasan itu sudah meriah dengan kehadiran penganut Hindu dari seluruh dunia.

“Keistimewaan sambutan Thaipusam di Batu Caves ini adalah kerana adanya kuil di kawasan gua. Kawasan ini akan penuh selama 24 jam dalam tempoh seminggu itu.

“Saya berasa bangga kerana tempat ini turut mendapat perhatian dunia sebagai tempat pelancongan popular, terutama sejak patung dewa tertinggi ini dibina,” katanya ketika ditemui BM.

Jurutera elektronik, Encik Ma Ren Yuchen, 26 tahun, datang dari China ke Malaysia bersama ibunya untuk melawat Batu Caves, yang diketahuinya melalui internet.

“Saya lihat di internet suasana di Batu Caves sangat meriah ketika Thaipusam. Malah, agensi pelancongan pun mempromosi Batu Caves sebagai tempat wajib untuk dikunjungi di Malaysia ketika Thaipusam.

“Saya dan ibu betul-betul teruja melihat penganut Hindu melakukan pelbagai aktiviti keagamaan mereka yang turut disulami muzik rancak. Lebih menarik, saya seronok menikmati keindahan pemandangan di sini dan tak sabar untuk kongsi bersama rakan di China,” katanya.

Walaupun beragama Islam, Cik Nurul Fitria Mastur, 30 tahun, dari Jawa Timur, Indonesia, turut tidak melepaskan peluang mahu melihat dari dekat suasana dan kemeriahan Batu Caves yang berlatar belakangkan gua menghijau.

“Beberapa rakan pernah datang ke sini dan berkongsi keunikan Batu Caves. Disebabkan itu saya memilih ke Batu Caves dalam kunjungan saya ke Malaysia kali ini.

“Di Jawa Timur juga ada sambutan Thaipusam, tetapi ia tidaklah semeriah di sini. Pemandangan di sini juga sangat cantik dan sejuk, mungkin kerana berhampiran gua,” katanya yang datang bersama keluarga.

Pelancong Jepun, Cik Tomona Ishi, 23 tahun, tidak menyangka galeri gambar di telefon bimbitnya dipenuhi foto yang dirakam di Batu Caves.

“Saya tiba di Malaysia pada 8 Februari, tetapi daripada beberapa tempat pelancongan yang telah saya lawati, di sini paling meriah dan menarik,” katanya yang kali pertama datang ke Malaysia.

Dengan Batu Caves menjadi tumpuan dunia, kerajaan Malaysia akan membina eskalator untuk memudahkan pengunjung mendaki ke puncak gua itu dan sebagai sebahagian tarikan pelancong ke situ.

Jadi, stamina tidak lagi menjadi penghalang untuk sesiapa yang berminat untuk menikmati keindahan Batu Caves pada masa akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg