KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menarik balik cadangan yang mencetuskan kontroversi berkaitan pengeluaran garis panduan bagi umat Islam yang ingin menghadiri majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Beliau menyatakan bahawa Kabinet telah membatalkan cadangan tersebut menyusuli bantahan hebat yang dibuat pelbagai pihak.
Ketika mengunjungi kuil terkenal di Batu Caves, Selangor, pada 7 Februari, menjelang sambutan Thaipusam di Malaysia, Datuk Anwar memberitahu wartawan:
“Tidak perlu untuk memberi penjelasan berhubung peraturan atau garis panduan.. Yang perlu adalah orang Islam menjaga akidahnya, (mengetahui) ada peraturan (yang telah ditetapkan agama), ada yang tidak boleh dilanggar.
“Tetapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai agama itu tidak ada masalah.
“Seperti saya datang ke sini (Batu Caves) hari ini bukan untuk (mengikuti) upacara agama (Hindu).”
Beliau berkata demikian sebagai ulasan kepada keputusan Jemaah Menteri pada 7 Februari yang bersetuju untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi nasihat kepada umat Islam di negara itu berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mereka melibatkan diri dalam majlis sebegitu, lapor BH Online Malaysia.
Kontroversi tercetus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan di Parlimen pada 4 Februari bahawa kerajaan sedang memuktamadkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis penganut agama lain.
Antaranya, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa dan upacara yang dianjurkan tidak boleh menyentuh sensitiviti penganut agama Islam.
Cadangan itu menerima bantahan hebat, menyebabkan Dr Na’im pada 6 Februari menjelaskan bahawa garis panduan tersebut masih dalam penelitian, lapor The Straits Times (ST).
Pengkritik menuduh pentadbiran Datuk Anwar sebagai keterlaluan, dengan menyatakan bahawa garis panduan tersebut akan menjejas tanggungjawab agama individu dan mengganggu keharmonian antara agama di Malaysia.
Sebelum pengumuman Datuk Anwar pada 7 Februari,Dr Na’im dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan bersama, menyatakan bahawa isu itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Kabinet bersetuju bahawa Jakim boleh mengeluarkan nasihat kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah dalam isu ini, tetapi ia bukan dasar rasmi (negara),” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Datuk Anwar berkata keputusan Kabinet berhubung mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, namun tidak memperincikan tarikhnya.
Lawatan Datuk Anwar di Batu Caves bertujuan untuk memastikan keselesaan kemudahan di sana bagi upacara Thaipusam yang bakal diadakan pada 11 Februari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg