Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 ahli GISB didakwa di Johor atas tuduhan pemerdagangan manusia, serangan seksual

Oct 13, 2024 | 5:43 PM
Tiga anggota  GISB mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim.
Tiga anggota GISB mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim. - Foto REUTERS

KOTA TINGGI: Tiga anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) didakwa di mahkamah sesyen Kota Tinggi pada 13 Oktober atas kesalahan serangan seksual dan pemerdagangan manusia.

Mahmad Hamal Tukiman, 57 tahun, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shah, 31 tahun - yang merupakan pengurus pusat peranginan milik GISB di Kota Tinggi - didakwa atas empat tuduhan pemerdagangan manusia melibatkan empat individu berusia antara 30 dengan 57 tahun.

Muhammad Ansarullah Tukino, 20 tahun, yang merupakan pekerja di resort itu pula menghadapi dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Cik Hayda Faridzal Abu Hasan.

Menurut kertas pertuduhan, Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah serta tiga lagi suspek yang masih belum ditangkap - Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani dan Norafiratul Abidah Ismail - memperdagang tiga wanita dan seorang lelaki bagi tujuan eksploitasi dengan memaksa mereka bekerja melalui ugutan.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara Ogos 2023 dengan 1 Oktober 2024 di Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar.

Muhammad Ansarullah pula didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan menyentuh paha dan alat sulit mangsa.

Dia didakwa melakukan demikian pada 1 dan 3 Jun, pada 10 malam di surau Ikhwan Resort.

Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah diwakili peguam Fathul Anwar Muin manakala Muhammad Ansarullah pula diwakili peguam Muhammad Zaim Rusli.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Khairuddin Khalid mengusulkan agar ikat jamin ditetapkan pada RM50,000 ($15,216) ke atas Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah bagi setiap tuduhan dan RM40,000 ke atas Muhammad Ansarullah bagi setiap tuduhan.

Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, dan tidak menghubungi mana-mana mangsa dalam kes itu.

Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tuduhan manakala Muhammad Ansarullah dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan yang dihadapinya serta beberapa syarat lain.

GISB menjadi perhatian di Malaysia berikutan dakwaan penderaan kanak-kanak dan liwat selepas polis menyerbu 20 rumah kebajikan kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan GISB pada September.

Hasil usaha itu, hampir 400 kanak-kanak lelaki dan perempuan berjaya diselamatkan.

Pada 21 September, seramai 155 suspek yang dikaitkan dengan GISB, termasuk 77 wanita, telah ditahan dalam operasi yang dinamakan Ops Global di semua negeri Semenanjung Malaysia, kata ketua polis Malaysia Razarudin Husain.

Beliau berkata 82 premis diserbu termasuk rumah dan premis perniagaan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

GISB di laman webnya mengiktiraf Allahyarham Ashaari Muhammad sebagai pengasasnya.

Allahyarham juga pengasas kumpulan Al-Arqam, yang diharamkan pada 1994 kerana menyebarkan “ajaran Islam yang menyimpang”. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg