Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Global Ikhwan miliki harta RM52.4j di 10 negara

Oct 11, 2024 | 3:32 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dikesan memiliki harta dianggarkan bernilai RM52.4 juta ($15.90 juta) di 10 negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dikesan memiliki harta dianggarkan bernilai RM52.4 juta ($15.90 juta) di 10 negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kumpulan perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dikesan memiliki harta dianggarkan bernilai RM52.4 juta ($15.90 juta) di 10 negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pada masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan harta itu dari negara yang terbabit bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613.

“Kita masih mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa luar negara berkaitan aset-aset GISBH yang berada di luar negara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Mohd Shuhaily berkata pihaknya menggunakan pendekatan melalui Polis Antarabangsa (Interpol), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi-agensi berkaitan.

“Kita sudah mendapat maklum balas daripada rakan sekerja (pihak berkuasa) yang memaklumkan ada tiga premis sudah berhenti beroperasi. Papan tanda premis itu juga diturunkan, malah tingkap juga ditutup dengan plastik hitam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih belum menerima maklumat berkaitan keberadaan dan pergerakan ahli GISBH di negara itu.

“Sebelum ini, dimaklumkan sebanyak 19 negara yang ada premis GISBH. Kita masih menunggu maklum balas daripada sembilan lagi pihak berkuasa berkuasa,” katanya.

Sementara itu seramai 16 ahli GISBH yang ditahan reman sebelum ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bermula 10 Oktober.

Datuk Mohd Shuhaily berkata penahanan semula itu turut dilakukan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, dan pimpinan tertinggi rangkaian GISBH.

“Penahanan ke atas semua suspek dibuat selepas tempoh reman berakhir pada 10 Oktober. Setakat ini jumlah keseluruhan yang sudah ditahan di bawah Sosma adalah seramai 58 individu dan mereka akan ditahan selama 28 hari,” katanya sambil menambah PDRM sudah menahan seramai 415 individu sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.

Beliau berkata sepanjang operasi dilaksanakan PDRM membuka 97 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Datuk Mohd Shuhaily juga berkata Jabatan Peguam Negara sudah mengarahkan supaya GISBH dituduh di mahkamah berdasarkan empat kes yang disiasat terhadap syarikat itu.

“Empat tuduhan terhadap GISBH itu membabitkan dua kertas siasatan mengikut Seksyen 12, Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg