KEMAMAN (Terengganu): Tiga nelayan tradisional dikhuatiri hilang selepas keluar mencandat sotong di perairan Kemaman, Terengganu, sejak 13 Oktober.
Mangsa yang dikhuatiri hilang ialah Encik Mokhtar Yusof, 69 tahun; dan anaknya, Encik Mohd Syukri, 46 tahun; serta adik kepada Encik Mokhtar, Encik Mohd Nasir Yusof, 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan itu pada 4.44 petang, 16 Oktober.
“Mereka kali terakhir dilihat pada 3 petang 13 Oktober lalu, ketika keluar mencandat sotong menggunakan bot nelayan nombor pendaftaran TRF798,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali, berkata pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.50 petang 16 Oktober, selepas menerima laporan mengenai kejadian.
“Kami melakukan pencarian sehingga 30 batu nautika di kawasan perairan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot nelayan itu,” katanya.
Operasi SAR tiga nelayan terbabit giat diteruskan pada 17 Oktober.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Encik Muhammad Faisal Abdul Rahim, berkata operasi bermula sekitar 8 pagi membabitkan dua bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, operasi 17 Oktober akan diperluaskan kepada radius pencarian sekitar 840 batu persegi membabitkan pencarian di laut dan udara.
“Kita akan mendapatkan bantuan sebuah pesawat jenis Bombardier dari APMM yang akan melakukan pencarian melalui udara,” katanya.
Malaysia kini dalam fasa peralihan kepada musim monsun timur laut (MTL) yang menyebabkan kejadian ribut petir, hujan lebat dan peningkatan paras ombak, selain beberapa negeri sudah mula dilanda banjir.
Di Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Encik Hanafiah Mat, berkata sebanyak 41 kampung di Terengganu berisiko dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula 17 Oktober malam hingga 25 Oktober.
Menurutnya ia berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu yang meramalkan kenaikan paras beberapa sungai di daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Setiu dan Kemaman.
Sehubungan itu, Encik Hanafiah menasihatkan semua penduduk supaya berwaspada dan sedia berpindah jika perlu.
Setakat 12 tengah hari 17 Oktober, sejumlah 4,230 penduduk terjejas banjir berada di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri.
Pahang masih melaporkan jumlah mangsa banjir paling tinggi dengan 1,732 orang; diikuti Perak (1,276 mangsa); Kedah (1,026); Sarawak (105); Selangor (56); Melaka (931); Johor (31) dan Kuala Lumpur (5).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg