Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

30% kanak-kanak M’sia alami bantut kerana kurang nutrisi dalam pemakanan

Nov 1, 2023 | 4:47 PM
PERLU NUTRISI: Ada 30 peratus kanak-kanak berusia antara sifar hingga empat tahun yang mengalami masalah pertumbuhan terbantut di Malaysia.
PERLU NUTRISI: Ada 30 peratus kanak-kanak berusia antara sifar hingga empat tahun yang mengalami masalah pertumbuhan terbantut di Malaysia. - Foto GOOGLE

KUALA LUMPUR: Hampir 30 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami pertumbuhan terbantut disebabkan oleh ‘pemakanan tidak sihat’ yang berpunca daripada tekanan kos sara hidup dan gaya hidup keluarga.

Timbalan Menteri Kesihatan, Encik Lukanisman Awang Sauni, berkata menurut data kementerian itu, 29.7 peratus kanak-kanak antara usia sifar hingga empat tahun mengalami pertumbuhan terbantut.

Beliau berkata Kelantan dan Putrajaya merekodkan nisbah tertinggi kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut dan isu berkenaan tidak terhad kepada mana-mana kumpulan pendapatan tertentu seperti berpendapatan rendah (B40) atau berpendapatan tinggi (T20).

“Mereka yang berpendapatan rendah cenderung memilih makanan yang lebih murah dan kurang berkhasiat kerana sumber kewangan yang terhad dan keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu.

“Mereka yang berpendapatan tinggi pula lebih fokus kepada kerjaya, menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk memasak di rumah, sebaliknya memilih makanan yang cepat disedia, tetapi kurang berkhasiat seperti makanan segera untuk keluarga mereka,” katanya lapor The Star.

Encik Lukanisman yang berkongsi data itu ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu juga menambah, sehubungan itu isu pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak adalah antara keutamaan kementerian untuk ditangani.

Ia berikutan wujud kebimbangan mengenai kemungkinan kesan negatif masalah pertumbuhan terbantut terhadap kehidupan generasi akan datang.

“Kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut lebih berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti obesiti yang akan menjejaskan keupayaan produktiviti mereka apabila mencapai usia dewasa yang seterusnya boleh menjejaskan produktiviti masa depan negara,” tambahnya.

Kata Encik Lukanisman, kementeriannya akan mengambil pendekatan menyeluruh untuk menangani isu itu termasuk menjalin kerjasama lanjut antara Kementerian Kesihatan dengan beberapa kementerian lain serta pihak berkepentingan.

Ini termasuk perbincangan lanjut dalam kementerian melalui Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malnutrisi Dalam Kalangan Kanak-Kanak, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami sedang meneliti kerjasama erat dengan banyak institusi tempatan, pakar, persatuan dan badan antarabangsa seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk menangani isu itu sebelum ia menjadi lebih teruk.

“Bersama-sama, kami berharap dapat membangunkan rancangan dan aktiviti komprehensif yang akan meningkatkan mutu pemakanan makanan untuk kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai isu ini,” katanya.

“Kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut lebih berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti obesiti yang akan menjejaskan keupayaan produktiviti mereka apabila mencapai usia dewasa yang seterusnya boleh menjejaskan produktiviti masa depan negara.”
Timbalan Menteri Kesihatan, Encik Lukanisman Awang Sauni.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg