Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kanak-kanak Rohingya hadapi kekurangan makanan, dana bantuan pula dipotong

Jun 25, 2023 | 05:30 AM



DHAKA: Setiap hari Jannat, lima tahun, memungut botol-botol dan tin-tin di kem pelarian Rohingya di Bangladesh untuk mencari sesuap nasi.


Apabila cukup mengumpulkan sisa-sisa buangan tersebut, dia membeli makanan ringan untuk mengisi perutnya yang ‘berkeroncong’.

Jannat adalah salah seorang daripada semakin ramai kanak-kanak yang terpaksa mengutip sampah sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengurangkan catuan makanan untuk hampir satu juta penduduk kem Rohingya kepada hanya 9 sen pada Jun.

Pemotongan yang dibuat akibat kekurangan besar dalam pembiayaan telah mencetuskan kebimbangan timbulnya masalah kekurangan zat makanan dan kematian kanak-kanak di penempatan pelarian terbesar di dunia itu.

“Rohingya menghadapi kesulitan untuk memenuhi keperluan hidup. Akan ada kesan yang serius,” kata Simone Parchment, Timbalan Pengarah bagi Bangladesh, Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, yang telah menyokong pelarian sejak mereka meninggalkan Myanmar.

Agensi bantuan meramalkan pemotongan itu akan mencetuskan peningkatan jenayah dan keganasan berkumpulan, yang berpotensi menjejas kestabilan kem, dan menggalakkan pemerdagangan manusia apabila lebih ramai orang cuba melarikan diri ke luar negara.

Kebuluran yang semakin meningkat juga boleh mendorong perkahwinan kanak-kanak, buruh kanak-kanak dan penderaan domestik apabila ketegangan semakin meningkat.

Ayah Jannat, Encik Karim, berkata berat badan anak perempuannya semakin susut dan mereka sekeluarga sering melewatkan sarapan dan kini makan nasi dan kacang.

“Kadang-kadang anak saya meminta sebiji epal, tetapi kami tidak mempunyai wang. Ia membuat kami berasa sangat bersalah dan tidak berdaya,” kata Encik Karim, ketua kumpulan masyarakat, yang meminta nama sebenarnya tidak disebutkan.

Rohingya, minoriti kebanyakannya beragama Islam dari negeri Rakhine Myanmar, tinggal di pondok buluh dan berdindingkan kanvas di Cox’s Bazar di tenggara Bangladesh.

Sekitar 730,000 melarikan diri ke sana ekoran tindakan keras tentera pada 2017 yang disifatkan PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai..

Dalam sambutan Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun, para pelarian memberitahu Yayasan Thomson Reuters menerusi panggilan video bahawa kelaparan mendorong beberapa keluarga mengahwinkan anak perempuan mereka seawal 13 atau 14 tahun supaya mereka mempunyai lebih sedikit mulut untuk disuap.

Para pelarian Rohingya berkata jenayah semakin meningkat dan amat bimbang dengan peningkatan dalam penculikan kanak-kanak.

“Beberapa minggu lalu penculik memotong tangan seorang remaja apabila keluarganya tidak dapat membayar wang tebusan,” kata Encik Karim sambil menambah bahawa penjenayah menyasarkan keluarga yang mempunyai saudara-mara di luar negara yang biasanya akan menghantar wang bantuan.

WFP mula-mula memotong nilai baucar makanan bulanan daripada $12 kepada $10 pada bulan Mac, tetapi terpaksa mengurangkannya kepada $8 bulan ini selepas berdepan dengan masalah kekurangan dana. Ia memerlukan $48 juta untuk memulihkan catuan penuh.

Cik Wendy McCance, Pengarah Negara Bangladesh bagi agensi bantuan Majlis Pelarian Norway (NRC), memberi amaran keadaan boleh menjadi lebih buruk dengan pemotongan lanjut yang dijangka dibuat tahun ini.

WFP berkata pemotongan terbaharu itu berkemungkinan membawa kepada “lonjakan mendadak dalam kekurangan zat makanan akut”, meningkatkan kematian kanak-kanak, penyakit dan masalah terbantut.

Malah, sebelum pengurangan pertama, satu daripada lapan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan dua daripada lima terbantut, memberi kesan kepada perkembangan kognitif dan fizikal mereka serta memalapkan peluang masa depan.

Keletihan penderma untuk menghulurkan bantuan adalah perkara biasa dalam krisis yang berpanjangan. Mereka terpaksa bersaing dalam memberikan bantuan seperti perang di Ukraine, gempa bumi di Turkey dan Syria dan kemarau di Afrika Timur.

WFP juga telah mengurangkan catuan di Afghanistan, Bangladesh, Burundi, Chad, Ecuador, Mali, Palestin, Tanzania dan Uganda.

Tetapi sekumpulan pakar PBB berkata “pemotongan bencana” bagi pelarian Rohingya adalah “noda pada hati nurani masyarakat antarabangsa”.

Mereka berkata banyak pemerintah telah menawarkan sokongan retorik yang kuat untuk Rohingya tetapi gagal menyumbang satu sen pun ke arah bantuan kemanusiaan di Bangladesh.

Pelan kemanusiaan bernilai $876 juta untuk memenuhi keperluan Rohingya yang lebih luas hanya dibiayai satu perempat.

Tidak seperti beberapa populasi pelarian lain, Rohingya hampir sepenuhnya bergantung kepada bantuan kerana mereka dilarang bekerja oleh pihak berkuasa Bangladesh dan tidak boleh meninggalkan kem.

Tiada sekolah formal untuk anak-anak mereka dan mereka tidak mempunyai akses kepada tanah untuk menanam makanan mereka sendiri.

Sesetengah Rohingya meraih sedikit wang dengan membantu kumpulan kemanusiaan dan agensi PBB di kem. Mereka kerja seperti menjaga gudang dan membina longkang.

Walaupun Bangladesh telah memagari kem, ramai yang pergi memancing pada waktu malam atau bekerja secara haram di Cox’s Bazar – sering menerima gaji di bawah purata sebagai buruh harian, menyebabkan ketegangan dengan penduduk tempatan di salah satu daerah termiskin di negara itu.

Bangladesh mahu pelarian itu kembali ke Myanmar tetapi pelarian Rohingya berkata mereka tidak akan pulang melainkan mereka diberikan kewarganegaraan dan keselamatan mereka terjamin.

Agensi PBB dan kumpulan kemanusiaan mahu Bangladesh menarik balik sekatannya supaya pelarian boleh mula menyara diri mereka.

Cik McCance berkata: “Mereka memerlukan akses kepada mata pencarian, tanah dan tempat tinggal yang selamat supaya mereka boleh berhenti bergantung kepada bantuan.” – Yayasan Thomson Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >