Topic followed successfully
Go to BHku300 unit rumah mampu milik dibina di Senai Airport City
300 unit rumah mampu milik dibina di Senai Airport City
300 unit rumah mampu milik dibina di Senai Airport City
KULAI (Johor): Sebanyak 300 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dibangunkan di kawasan strategik Senai Airport City (SAC) sebagai usaha memastikan rakyat negeri itu terus mempunyai akses kepada kediaman bermutu pada harga berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek itu melibatkan unit berharga antara RM150,000 ($47,897) dengan RM300,000 yang disepadukan dalam pelan pembangunan sedia ada selepas melalui proses rundingan bersama pemaju.
“Pada peringkat awal, pembangunan kawasan ini dirancang dengan tumpuan berbeza, namun, hasil libat urus berterusan, kita berjaya memasukkan komponen rumah mampu milik dalam pelan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 April.
Menurut beliau, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan komersial dengan keperluan perumahan rakyat dapat dicapai.
Beliau berkata hasil semakan di tapak mendapati masih terdapat beberapa penambahbaikan diperlukan, khususnya melibatkan laluan masuk dan keluar ke kawasan pembangunan tersebut.
“Perkara ini penting bagi memastikan aspek kebolehcapaian, keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk dapat dirancang dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata penilaian turut memberi tumpuan kepada kapasiti jalan, reka bentuk persimpangan serta penyepaduan dengan rangkaian jalan sedia ada di sekitar SAC.
Beliau menegaskan pemaju perlu mematuhi garis masa pelaksanaan yang telah dipersetujui bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan.
“Pematuhan kepada jadual amat penting supaya rakyat dapat memiliki rumah sendiri tanpa perlu menunggu terlalu lama,” katanya.
Selain projek perumahan, beliau turut meninjau pelaksanaan kerja landskap di koridor dari Bulatan Johor Premium Outlets (JPO) Indrapura hingga ke Hutan Bandar Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Menurutnya, koridor tersebut merupakan laluan utama yang memainkan peranan sebagai pintu masuk imej bandar Kulai yang lebih tersusun dan moden.
“Kerja landskap melibatkan penyediaan tanah asas, penanaman pokok teduhan, pemasangan sistem pengairan automatik serta reka bentuk susun atur landskap bagi memastikan nilai estetik dan fungsi kawasan terpelihara,” katanya.
Beliau berkata aspek kejuruteraan seperti sistem aliran air, kawalan takungan serta penyepaduan saliran turut diberi perhatian bagi mengelakkan masalah air bertakung.
Kerajaan negeri turut mengenal pasti keperluan peruntukan sekitar RM10 juta bagi pembinaan jalan gantian serta menaik taraf laluan sedia ada bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan tersebut.
Datuk Mohd Jafni berkata pihaknya juga meninjau pelaksanaan projek pembinaan pembetung baharu di Saleng bagi menangani isu banjir kilat.
“Projek bernilai RM1.5 juta oleh Jabatan Kerja Raya ini melibatkan pembinaan pembetung tambahan tanpa merobohkan struktur sedia ada, sekali gus meningkatkan kapasiti aliran air,” katanya.
Menurut beliau, reka bentuk sistem itu mengambil kira keupayaan aliran air semasa hujan lebat serta penyepaduan dengan sistem saliran sedia ada bagi mengelakkan limpahan ke jalan utama dan kawasan penempatan.
“Langkah ini penting bagi memastikan sistem saliran lebih berdaya tahan dan mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan semua usaha tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan negeri dalam merancang pembangunan yang bukan sahaja memenuhi keperluan perumahan, malah juga aspek prasarana, keselamatan dan mutu hidup rakyat.

