Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

38 pelabur M’sia dakwa ditipu skim forex, rugi RM3.9 juta

Jun 13, 2025 | 4:01 PM
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga dari kiri), bersama mangsa penipuan membabitkan skim pelaburan forex tidak sah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga dari kiri), bersama mangsa penipuan membabitkan skim pelaburan forex tidak sah. - Foto ihsan PERTUBUHAN KEMANUSIAAN MASYARAKAT ANTARABANGSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Seramai 38 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan membabitkan skim pelaburan forex tidak sah yang dijalankan melalui kelas pembelajaran di sebuah pusat latihan terletak di Tun Razak Exchange (TRX).

Mangsa mendakwa mengalami kerugian keseluruhan mencecah RM3.9 juta ($1.18 juta) selepas wang pelaburan dan pulangan yang dijanjikan gagal dikembalikan, malah skim berkenaan secara tiba-tiba ditukar ke bentuk mata wang kripto rekaan penganjur.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata program berkenaan dijalankan tanpa kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan melanggar Seksyen 58, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA).

“Kononnya kelas itu untuk mengajar teknik pelaburan forex, namun ia sebenarnya satu perangkap yang menjanjikan pulangan antara 6 hingga 10 peratus sebulan.

“Pada peringkat awal, pelabur memang menerima sedikit pulangan, namun ia kemudian dihentikan secara tiba-tiba. Penganjur mendakwa sistem pelaburan digodam sebelum memperkenalkan platform baru berasaskan mata wang kripto yang tidak boleh ditunaikan,” katanya pada sidang media pada 13 Jun.

Datuk Hishamuddin berkata siasatan MHO mendapati syarikat pelaburan itu didaftarkan di Seychelles dan kononnya turut berdaftar di Labuan. Bagaimanapun, segala transaksi dilakukan dalam negara melalui akaun serta syarikat yang berdaftar di Malaysia, menjadikan ia di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“Kita difahamkan skim ini didalangi sebuah syarikat milik individu bergelar Datuk Seri yang kini menghilangkan diri,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Seorang mangsa, Encik Albert Lim, 55 tahun, berkata beliau dan keluarganya kerugian RM1.2 juta akibat mempercayai janji pulangan tinggi yang ditawarkan penganjur.

“Itu adalah wang simpanan kami sekeluarga yang lesap dalam sekelip mata. Ini bukan kali pertama saya menjadi mangsa,” katanya.

Encik Tan, 59 tahun, pula berkata beliau menyertai skim berkenaan selepas menghadiri taklimat pada Julai 2022 dan melabur sebanyak RM86,000.

“Namun pada Mac 2023, mereka mendakwa sistem digodam dan tidak membenarkan pengeluaran. Sejak itu, saya menunggu, tetapi hingga hari ini tiada sebarang maklum balas,” katanya.

Encik Lawrence, 78 tahun, pula menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih ketat bagi mengawal promosi pelaburan tanpa lesen.

“Kes sebegini semakin banyak berlaku. Kami merayu supaya kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkenalkan peraturan lebih ketat agar semua bentuk promosi pelaburan perlu mendapat kelulusan sah,” katanya.

Sementara itu, MHO turut menggesa siasatan diperluaskan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), selain siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang telah dibuka, bagi menjejaki aliran wang yang dipercayai diseleweng dan ditukar ke dalam bentuk mata wang kripto.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg