Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penipuan Ponzi: Aset RM3.5b dibeku, antara ditahan termasuk Tan Sri, Datuk Seri

Apr 23, 2025 | 10:35 AM
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali (depan) menunjukkan gambar barang dan aset rampasan ketika sidang media di Kuala Lumpur pada 21 April mengenai kejayaan operasi Northern Star untuk menumpaskan skim penipuan Ponzi.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali (depan) menunjukkan gambar barang dan aset rampasan ketika sidang media di Kuala Lumpur pada 21 April mengenai kejayaan operasi Northern Star untuk menumpaskan skim penipuan Ponzi. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga dusun durian, hotel, syarikat pemaju dan kilang pemprosesan kelapa sawit dianggar bernilai RM3.5 bilion ($1.04 bilion) antara aset baru yang dibeku dan disita kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan Ponzi di sebuah negara jiran dinamakan pelaburan MBI.

Ia susulan Op Northern Star siri kedua yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan utara Malaysia bermula 18 hingga 21 April, dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang bergelar Tan Sri dan seorang lagi Datuk Seri.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata menerusi operasi siri kedua itu, pihaknya menyita tiga dusun durian di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah, dengan keseluruhan keluasan 363 hektar bernilai RM223.6 juta.

Menurutnya sebanyak 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta bersama 12 kenderaan mewah turut disita dalam operasi kedua.

“Aset yang disita itu dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan terbabit dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dalam dua siri operasi itu sebanyak RM3.5 bilion.

“Pasukan Amla turut menyita tiga perniagaan iaitu kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah; sebuah hotel dan syarikat pemaju di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.

Datuk Muhammed Hasbullah berkata melalui siasatan juga mendapati Tan Sri dan Datuk Seri terbabit adalah proksi dan rakan kongsi kepada sindiket ini.

“Durian dusun ini mempunyai geran sah, namun menggunakan wang haram untuk pelaburan dusun terbabit.

“Kita masih dalam siasatan dan akan ada siri operasi lain. Kita tidak menolak akan ada tangkapan baru selepas ini,” katanya.

Beliau berkata siasatan dan maklumat diperoleh daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) mendapati seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan itu sejak 2017, manakala di Malaysia hanya enam laporan polis saja diterima.

“Siasatan juga mendapati skim pelaburan ini tidak mempunyai unsur samseng, sebaliknya mereka lebih fokus kepada perniagaan.

“Penipuan MBI ini dipercayai menggunakan kaedah ‘menebus’ barangan yang ditawarkan di bawah perniagaan mereka. Contohnya tukar tayar kenderaan serta barang elektrik bagi menampakkan perniagaan ini seolah relevan, yang mana mereka cuba membentuk satu ekosistem baru,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan aset dan hasil perolehan atas kes penipuan pelaburan MBI disaran memberi maklumat kepada Pasukan Amla.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg