Topik diikuti
Pergi ke BHku384 unit rumah mampu milik di Kluang diundi, Johor sasar 30,000 rumah siap hujung 2026
Projek rekreasi Sungai Lebam capai kemajuan 75.9 peratus
JOHOR BAHRU: Sebanyak 384 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Bukit Perdana Fasa 8 di Kluang, diundi selepas menerima 4,181 permohonan daripada rakyat yang mahu memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata unit yang ditawarkan terdiri daripada 82 RMMJ Jenis B, 183 Jenis C dan 119 Jenis D.
“Angka permohonan ini bukan sekadar nombor, tetapi mencerminkan besarnya harapan rakyat untuk memiliki rumah yang benar-benar boleh dipanggil milik sendiri.
“Proses undian mesti dilaksanakan secara telus, adil dan penuh amanah kerana di sebalik setiap nama yang berjaya, ada sebuah keluarga yang menantikan kehidupan lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Ogos.
Datuk Mohd Jafni berkata sebanyak 22,284 unit RMMJ telah siap dibina di seluruh negeri itu sehingga suku kedua 2026.
Jumlah itu merangkumi 21,412 unit yang disiapkan sehingga suku pertama, disusuli tambahan 872 unit pada suku kedua.
Kerajaan negeri Johor menyasarkan 30,000 unit disiapkan menjelang akhir 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri bukan sekadar janji di atas kertas, tetapi diterjemahkan melalui rumah yang siap, kunci yang diserahkan dan keluarga yang mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata Program Perumahan Kasih Johor turut menyediakan Bantuan Beli Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah Pertama dan Bantuan Sewa Rumah.
Program Rumah Percuma Johor, Rumah Subsidi Bina Baharu serta Baik Pulih Rumah Daif juga diteruskan, selain kerja penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat, Rumah Sewa Kerajaan dan rumah pangsa awam.
Datuk Mohd Jafni meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor memastikan setiap projek tersebut mempunyai garis masa yang jelas, pegawai yang bertanggungjawab serta langkah penyelesaian bagi masalah berkaitan tapak, pemaju, kelulusan atau penyampaian bantuan.
RMMJ dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan harga jualan dan had pendapatan isi rumah pemohon.
RMMJ Jenis A ditawarkan pada harga sekitar RM42,000 ($13,123) hingga RM50,000 bagi isi rumah berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
RMMJ Jenis B pula berharga sekitar RM80,000 hingga RM100,000, dengan had pendapatan isi rumah sehingga RM6,000 sebulan.
Bagi RMMJ Jenis C atau C1, harga ditetapkan sekitar RM150,000 hingga RM210,000 untuk isi rumah berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan.
Sementara itu, RMMJ Jenis D, D1 dan D2 ditawarkan pada harga antara RM250,000 dengan RM300,000, dengan had pendapatan isi rumah sehingga RM10,000 sebulan.
Sementara itu, beliau berkata pembangunan Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Mukim Tanjung Surat, Kota Tinggi, mencapai kemajuan 75.9 peratus dan mendahului jadual sebanyak 41.16 peratus.
Projek yang dijadualkan siap pada Disember itu merangkumi medan selera, kafe, gerai, surau, tandas, ruang permainan air, jeti dan tempat meletak kenderaan.
“Projek ini mesti disiapkan mengikut jadual, bermutu dan selamat, selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha pelancongan dan penduduk sekitar,” katanya.
