IPOH: Empat warga Singapura cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh longkang di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Pergom, di Simpang Pulai, Kinta, Perak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Encik Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.45 petang 29 September.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada tiga lelaki berusia 19, 20 dan 21 tahun, serta seorang wanita berusia 21 tahun.

Menurutnya, tiga daripada mangsa yang cedera ringan dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 20 tahun, tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September, lapor The Star.

Beliau berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai tiba di tempat kejadian pada 3.57 petang, untuk menyelamatkan mangsa.

“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu, yang turut cedera ringan pada bahagian kaki.

“Kesemua mangsa kemudian menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM), dibantu anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS), sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Seramai lapan anggota bomba, lima anggota polis dan empat petugas KKM terlibat dalam operasi berkenaan.